Ketua jurulatih Perak, Mehmed Durakovic, mengakui keputusan Malaysian Football League (MFL) meluluskan permohonan Persatuan Bolasepak Perak (PAFA) untuk menunda aksi unifi Liga Super dengan Kuala Lumpur esok (15 Februari) sebagai satu suntikan semangat buat anak buahnya.
Beliau menyatakan perasaan terharu atas keprihatinan MFL untuk menunda aksi di Stadium Bolasepak Kuala Lumpur, Cheras itu memandangkan Perak perlu membuat persiapan rapi bagi berdepan kelab Korea Selatan, Ulsan Hyundai pada pusingan ketiga kelayakan Liga Juara-Juara Asia (ACL), Selasa depan.
Tambahnya, penundaan jadual perlawanan ini mustahak kepada Perak memandangkan mereka perlu mengharungi satu hari perjalanan ke Ulsan selain pemain begitu kepenatan selepas beraksi selama 120 minit menentang Kitchee, Selasa lalu.
“Saya cukup risau bagaimana kami akan bertemu Kuala Lumpur bila lihat keadaan pemain turun jalani latihan pada pagi ini kerana belum cergas selain hanya beri tumpuan proses pemulihan semata-mata.
“Jadi, sebaik ketahui berita ini (tunda perlawanan) sejurus selepas sesi latihan tadi, saya ucapkan syukur dan ini merupakan satu berita gembira bukan sahaja buat saya tetapi seluruh pemain.
“Terima kasih yang tidak terhingga kepada MFL kerana sudi beri kelonggaran kepada Perak selain persetujuan pihak Persatuan Bola Sepak Kuala Lumpur(KLFA) serta pihak-pihak lain yang sudi membantu.
“Perlawanan dengan Ulsan Hyundai ini amat besar ertinya buat Perak kerana kami juga mahu ikut jejak langkah JDT (Johor Darul Ta’zim) bermain di pentas Liga Juara-Juara Asia, ” katanya ketika dihubungi, pada hari ini.
Pada perlawanan pusingan kedua kelayakan ACL di Ipoh, Selasa lalu, Perak berjaya mengalahkan kelab Hong Kong, Kitchee SC menerusi penentuan sepakan penalti 6-5 selepas kedudukan terikat 1-1 pada masa tambahan.
PAFA selepas itu telah membuat permohonan bertarikh 13 Februari kepada MFL bagi meminda perlawanan ketiga unifi Liga Super bertemu Kuala Lumpur yang sepatutnya berlangsung pada Jumaat.
Namun, demi agenda bola sepak kebangsaan memandangkan Perak membawa nama negara di pentas ACL, perlawanan itu akan dipinda kepada tarikh yang akan diumumkan kelak.
Selain itu, Mehmed berjanji tidak akan mensia-siakan ruang diberikan oleh MFL dengan menuntut aksi terbaik pasukannya apabila berdepan Ulsan Hyundai.
Walaupun sedar juara Liga Juara-Juara Asia tahun 2012 itu hadir dengan reputasi tinggi, itu tidak gentarkan Mehmet yang mahu pemain-pemainnya berikan saingan.
“Lawan kami sememangnya antara yang terbaik di Asia malah mereka saya difahamkan mereka punyai 48 pemain berdaftar, satu jumlah cukup besar hendak dibandingkan dengan kami.
“Namun, dengan situasi terbaharu ini, saya yakin boleh turunkan semua pemain terbaik yang saya ada ketika di Ulsan nanti, ” katanya.
Kredit foto: Perak FA