Previu MSL 2019: Pahang & Terengganu Buru Konsistensi Demi Dominasi Bergelar Pencabar

Malam ini menyaksikan perlawanan kedua membabitkan kedua-dua pasukan. Pahang akan beraksi di Stadium Darul Makmur sebagai tuan rumah buat pertama kali musim ini. Manakala Terengganu FC akan beraksi sebagai pelawat setelah melayan kunjungan PKNS FC di Kuala Terengganu pada Jumaat lalu.

Menjelang perlawanan diantara kedua-dua pasukan di saingan unifi Liga Super Malaysia pada malam ini, berikut adalah previu yang kami bawakan khas untuk anda.

Pahang FA

Skuad Tok Gajah kendalian Dollah Salleh masih segar dari kemenangan 3-1 ke atas Kuala Lumpur pada minggu lalu. Namun jika sasaran mereka ialah untuk bersaing dengan pasukan seperti JDT untuk kejuaraan liga, maka barisan pemain sedia ada harus kekal fokus untuk menghasilkan keputusan positif secara konsisten.

Untuk rekod, kali terakhir Pahang bergelar juara liga ialah pada 2004, dan mereka tewas hanya dua kali sepanjang 21 perlawanan yang diharungi pada musim tersebut. Musim lalu, Pahang terpaksa berpuas hati menduduki tangga ke-4 Liga Super Malaysia, merekodkan 7 seri dan 6 kekalahan sepanjang musim, selain dipisahkan oleh 25 mata dengan JDT yang muncul juara.

Terengganu FC

Seperti Pahang FA, skuad Terengganu FC kendalian Irfan Bakti turut mahu membuktikan diri mereka sebagai salah sebuah pasukan yang dominan di Liga Malaysia. Mara sehingga ke perlawanan akhir Piala Malaysia pada musim lalu, boleh dianggap sebagai permulaan dan Irfan pasti mahukan anak buahnya mengekalkan momentum dari Piala Malaysia pada musim lalu kepada kempen mereka di saingan liga pada musim ini.

FOTO: Terengganu FC

Seri menentang PKNS FC pada minggu lalu bermakna skuad Penyu sudah keciciran mata dari perlawanan pertama lagi. Ini menjadikan kunjungan ke Kuantan untuk pertemuan pada malam ini menjadi lebih penting. Tiga mata penuh harus menjadi sasaran sekiranya Terengganu FC mahu terus kekal bersaing bersama pasukan-pasukan besar lain di Liga Malaysia. Ini baru minggu kedua liga. Namun dalam liga yang hanya mempunyai 12 pasukan, dan 22 perlawanan, setiap perlawanan itu hendaklah dianggap penting untuk mengumpul sebanyak mungkin mata.

Pemain tumpuan

Dua gol jaringan Dickson Nwakaeme dalam kemenangan 3-1 menentang Kuala Lumpur merupakan amaran awal kepada semua lawan Pahang selepas ini. Lebih menarik, seorang lagi pemain import, Saddil Ramdani turut menemui sentuhan penyudah dalam perlawanan tersebut – bermakna pemain-pemain ini sudah menemui rentak, walaupun beraksi bersama pasukan baru dalam satu perlawanan.

Dickson Nwakaeme masih mampu mengucar kacirkan benteng pertahanan Kuala Lumpur walaupun hampir 2 tahun tidak beraksi dalam perlawanan kompetitif. FOTO: Pahang FA

Dickson Nwakaeme mungkin menjadi sasaran pemain pertahanan untuk dihalang dari merobek gawang Terengganu pada malam ini. Namun kelibat Jose Eduardo turut jangan dipandang ringan selepas pemain itu turut menampilkan aksi yang meyakinkan dalam perlawanan menentang Kuala Lumpur.

Di kem Terengganu FC, Irfan boleh menarik nafas lega selepas Lee Tuck bakal kembali selepas pergantungan satu perlawanan. Pemain import dari England itu akan bergandingan buat kali pertama bersama perancang tengah dari Uzbekistan, Sanjar Shaakhmedov. Dalam perlawanan menentang PKNS FC tempoh hari, Sanjar membuktikan keupayaan beliau dengan lorongan-lorongan menarik yang mampu memberi ancaman.

Sumber: Kosmo

Untuk mendapatkan input akhir, Irfan pasti menagih lebih banyak usaha dari penyerang import dari Ivory Coast, Tcheche Kipre agar lebih tajam ketika memperolehi peluang untuk diterjemahkan kepada jaringan.

Taktikal pasukan

Dollah Salleh dijangka akan mengekalkan formasi 4-4-2 untuk perlawanan pada malam ini. Mohamadou Sumareh dan Saddil Ramdani akan beraksi di kedua-dua belah sayap, dan seperti kebiasaan akan saling bertukar posisi untuk mengelirukan pertahanan lawan.

Dollah Salleh
Foto: Pahang FA

 

Gandingan Safuwan Baharudin dan Azam Azih hampir pasti dikekalkan di jentera tengah untuk mewujudkan kreativiti.

Bagi pasukan Terengganu FC, 4-3-3 hampir pasti menjadi pilihan Irfan Bakti. Gandingan Lee Tuck dan Sanjar Shaakhmedov pasti akan diarahkan untuk menguasai bahagian tengah, untuk mengelakkan penguasaan Pahang dalam perlawanan ini.

Kedua-dua belah sayap, dan pertahanan sisi Pahang dan Terengganu juga dijangka sibuk pada malam ini, kerana kedua-dua pasukan memiliki barisan pemain lincah yang mampu melakukan larian dari kedua-dua arah untuk melakukan serangan.

Ramalan Semuanya BOLA

Perlawanan ini dijangka berlangsung dengan sengit. Kedua-dua pengendali sudah arif dengan corak permainan lawan masing-masing. Kerana itu, fokus kita akan terarah kepada perang taktikal yang akan berlaku ketika dalam permainan. Sedikit perubahan dan kelebihan mampu mengubah keputusan perlawanan.

Namun disebabkan elemen beraksi di tempat sendiri dan prestasi semasa, kami memilih Pahang menang 2-1 dalam perlawanan ini.

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN