Juara bertahan Manchester City kini kembali ke tangga teratas Liga Perdana Inggeris -buat kali pertama sejak 16 Disember lalu- setelah menewaskan Everton 2-0 di Goodison Park pada awal pagi tadi.
Gol oleh Manchester City dijaringkan oleh pemain pertahanan, Aymeric Laporte, selepas pemain itu menanduk masuk sepakan percuma David Silva di penghujung babak pertama perlawanan – sekaligus membenarkan Manchester City mendahului sebelum rehat separuh masa perlawanan.
Aksi selepas itu menyaksikan Sergio Aguero dan Raheem Sterling terlepas beberapa peluang keemasan untuk menambah jaringan buat City, sehinggalah Gabriel Jesus tampil untuk mengesahkan tiga mata mutlak menjadi milik skuad Pep Guardiola melalui jaringan di masa kecederaan.
City kelebihan jaringan, Liverpool kurang perlawanan
Kemenangan ke atas Everton ini bermakna The Citizen mempunyai kelebihan jumlah jaringan berbanding Liverpool, walaupun skuad kendalian Jurgen Klopp masih memiliki satu perlawanan di dalam tangan.
City tidak berada di prestasi terbaik menentang Everton, dan terpaksa menggunakan keinginan mereka untuk kembali ke puncak liga sebagai motivasi untuk memburu kemenangan.
Tumpuan kini akan kembali kepada Liverpool, yang mempunyai peluang untuk kembali ke puncak liga, apabila bakal berhadapan dengan Bournemouth pada Sabtu akan datang. 24 jam kemudian, City akan menjadi tuan rumah kepada Chelsea di Stadium Etihad.
Guardiola semalam berkata juara Liga Perdana Inggeris pada musim ini mungkin akan diketahui di pengakhiran liga, dan berpendapat sehingga lima pasukan masih mampu untuk meraih kejuaraan pada musim ini.