RASMI: Tamirlan Kozubaev Dedah Sebab Pilih PKNS FC Dan Tolak Tawaran Dari Indonesia

PKNS – bimbingan Datuk K. Rajagobal – melengkapkan kuota pemain import mereka dengan mendapatkan pemain kebangsaan Kyrgystan, Tamirlan Kozubaev.

Pemain yang tinggi lampai – 188 sentimeter – berusia 24 tahun itu bermain di posisi bek tengah. Beliau mewakili negaranya dalam kempen Piala Asia 2019 di UAE baru-baru ini. Namun disingkirkan di pusingan suku akhir oleh tuan rumah – UAE.

Kozubaev mendedahkan beliau mendapat beberapa tawaran daripada kelab Uzbekistan dan Indonesia. Namun selepas mendapat tahu PKNS mahukan beliau, Kozubaev memilih untuk datang ke PKNS FC.

Beliau ada perasaan yang agak istimewa kepada Malaysia kerana pernah bermain berhadapan Malaysia sebelum ini.

Dipetik daripada sumber rasmi kelab, Kozubaev berkata: “Saya pernah dua kali menentang pasukan kebangsaan Malaysia sebelum ini dan ini merupakan faktor utama saya memilih pasukan PKNS FC.”

“Saya juga berharap dapat mengekalkan prestasi di tahap terbaik supaya dapat membantu PKNS FC membawa pulang satu piala seperti yang ditetapkan pihak pengurusan,”

Pengurus PKNS FC, Mahfizul Rusydin Abdul Rashid berharap kehadiran Kozubaev akan menguatkan lagi pasukan mereka dan menjadikan pertahanan mereka lebih ampuh.

Mahfizul mengakui cabaran kepada Kozubaev sekarang adalah untuk mendapatkan keserasian secepat mungkin – dengan baki pra-musim Liga Super tinggal beberapa hari sahaja lagi.

Skuad PKNS FC kelihatan serius untuk mencabar kelompok 5 teratas Liga Super musim ini apabila bakal menandatangani pemain import kelima untuk slot asia.

Mahfizul Rusydin Abd Rashid sebelum ini memberitahu Berita Harian bahawa pemain itu menjadi pilihan barisan kejurulatihan selepas meneliti pelbagai faktor.

“Sebelum ini, kita ada beberapa pilihan untuk mengisi posisi pertahanan tengah dengan beberapa pemain dari Korea Selatan, Jepun, Australia dan Asia Timur berada dalam pemantauan kami.”

“Namun barisan kejurulatihan membuat keputusan mendapatkan khidmat pemain ini dan kini kami sedang memuktamadkan rundingan memandangkan dia baru sahaja selesai beraksi bersama negara di Piala Asia 2019,” katanya.

Tamirlan Kozubaev berada dalam kesebelasan utama skuad kebangsaan Kyrgyzstan dalam saingan Piala Asia baru-baru ini. FOTO: AFC

Meskipun pemain tersebut baru selesai daripada tugasan bersama pasukan kebangsaanya, Mahfizul yakin tahap kecergasan beliau berada di tahap terbaik dan tidak akan berdepan masalah menyesuaikan diri dengan corak permainan pasukan.

“Pada pendapat kami, memandangkan dia baru selesai beraksi di Piala Asia 2019, jadi tahap kecergasannya mungkin masih berada pada tahap yang baik.

“Cuma dia perlu mengenal rakan sepasukan dan dapat memahami perancangan dan strategi yang bakal kami terapkan. Kami yakin kemasukannya akan dapat membantu pasukan ini,” katanya.

Tamirlan Kozubaev pernah beraksi dalam saingan Sukan Asia tahun lepas dimana pasukannya tewas kepada Malaysia, 1-3. FOTO: Gulf Digital News

Kehadiran Tamirlan melengkapkan kuota pemain import skuad semut merah selepas mereka menandatangani pemain skuad kebangsaan Kemboja, Chan Vathanaka dan bekas pemain JDT, Gabriel Guerra.

PKNS FC turut mengekalkan khidmat pemain import musim lalu iaitu Romel Morales dan membawa masuk bekas pemain import MIFA, Kpah Sherman.

Skuad kendalian Datuk K Rajagobal itu dijadualkan menentang naib juara Piala Malaysia 2018, Terengganu FC (TFC) di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah pada 1 Februari ini untuk aksi pertama Liga Super 2019.

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN