Kini, sudah tiba masanya untuk semua berganding bahu dan memberikan kerjasama demi masa depan liga yang lebih baik.
Naib Presiden Persatuan Bola Sepak Perak (PAFA), Abd Aziz Yeop Jamaluddin menyeru agar sokongan diberikan oleh semua pasukan di Liga Malaysia terhadap usaha yang dilakukan oleh pihak Malaysian Football League (MFL) untuk membasmi isu gaji pemain.
Menurut laman Berita Harian, Aziz mengatakan usaha pihak MFL itu harus dipuji kerana mereka begitu komited untuk mempelajari cara mengatasi masalah pembayaran lagi dengan pihak dari La Liga.
Hal ini kerana, pihak MFL berhasrat untuk mewujudkan sistem kouta perbelanjaan terhadap pasukan-pasukan bertanding seperti yang digunakan di Sepanyol.
“Masalah gaji di La Liga sebenarnya lebih besar berbanding apa yang dihadapi di liga kita.”
“Namun begitu, kerjasama diberikan dengan baik oleh para pasukan di sana dan ia berjaya membantu La Liga untuk mengatasi isu gaji di sana dengan jayanya.”
“Inilah masa untuk pasukan di Liga Malaysia mengubah mentaliti dan membantu MFL, mereka perlukan banyak dokumen untuk semak kedudukan kewangan pasukan.”
Kouta perbelanjaan pasukan yang ditetapkan oleh La Liga ini merupakan sebuah sistem yang dimana pasukan hanya dibenarkan berbelanja mengikut kedudukan kewangan mereka sahaja.
Sekiranya terdapat hutang, mereka akan dikenakan tindakan tegas oleh penganjur liga Sepanyol itu.
Elche FC dan Real Murcia antara pasukan yang pernah dihukum La Liga kerana peraturan ini beberapa tahun yang lalu.