Chelsea berjaya melangkah ke pusingan kelima saingan Piala FA selepas berjaya menundukkan Sheffield Wednesday 3-0 pada aksi yang berlangsung di Stamford Bridge, awal pagi tadi.
Perlawanan ini juga menjadi penampilan sulung Gonzalo Higuain buat Chelsea, namun penyerang berusia 31 tahun itu gagal mencipta sebarang jaringan serta percubaan tepat ke arah gawang lawan.
Beliau sempat beraksi selama 82 minit sebelum digantikan oleh Olivier Giroud.
Seperti kebiasaan sejak kehadiran Maurizio Sarri membimbing pasukan, Chelsea menyajikan penguasaan bola yang begitu lancar dalam usaha memburu jaringan.
Usaha The Blues membuahkan hasil pada minit ke-26 selepas ketua pasukan, Cesar Azpilicueta dikasari Sam Hutchinson dalam kawasan penalti Sheffield Wednesday.
Willian pada mulanya memberikan laluan kepada Higuain untuk mengambil sepakan, tetapi Higuain menolak tawaran tersebut kerana mahu Willian menjaringkan gol ke-50 beliau bersama Chelsea.
Willian jelas tidak melepaskan peluang itu untuk membuka tirai jaringan setelah berjaya memerangkap Kieren Westwood ke arah berbeza.
Pemain muda yang dilaporkan meminta keizinan untuk berhijrah ke Bayern Munich, Callum Hudson-Odoi menjadikan kedudukan 2-0 pada minit ke-64.
Odoi yang menerima hantaran jauh cantik daripada Andreas Christensen, melepaskan rembatan dari jarak dekat yang melepasi kawalan Westwood.
Willian sekali lagi meletakkan nama selaku penjaring apabila percubaannya hasil umpanan dalam kawasan penalti dilakukan Olivier Giroud terus menerjah gawang untuk Chelsea mencatatkan kemenangan selesa 3-0.
Kedudukan tersebut kekal hingga tamat permainan untuk Chelsea terus berjuang bagi merebut saingan piala domestik kedua selepas mereka turut melayakkan diri ke perlawanan akhir Piala Carabao musim ini.