Menurut laporan media Sepanyol, Mundo Deportivo, Paris Saint-Germain (PSG) bersedia untuk melancarkan ‘perang komersil’ terhadap Barcelona dengan mendapatkan Philippe Coutinho dari kelab Catalan itu.
Perkara itu sedemikian selepas PSG gagal bersaing untuk mendapatkan Frenkie De Jong dari Ajax, yang memilih untuk menyertai Barcelona melibatkan nilai perpindahan €75 juta.
‘Perang komersil’ merujuk kepada keupayaan sesebuah kelab untuk menarik minat pemain-pemain utama dunia untuk menyertai mereka.
Coutinho jadi sasaran
Philippe Coutinho sebelum ini dikhabarkan akan keluar dari Barcelona selepas bintang Brazil itu bergelut untuk mendapatkan minit perlawanan sewajarnya, sejak menyertai juara La Liga itu dari Anfield setahun yang lalu.
Terdapat laporan mengatakan beberapa kelab Liga Perdana Inggeris seperti Chelsea dan Manchester United berminat untuk mendapatkan khidmat perancang tengah itu. Namun kini PSG dikhabarkan turut menjadikan pemain Brazil itu sebagai sasaran utama mereka.
Balas dendam?
Laporan dari Sepanyol berkata PSG tidak senang kerana gagal meyakinkan Frenke De Jong untuk menyertai mereka, sehingga timbul khabar angin mengatakan Penagarah Sukan kelab Ligue 1 itu akan dipecat.
Tindakan ini akan menyebabkan hubungan kedua-dua kelab terus tegang, selepas PSG memaksa penjualan Neymar dengan yuran perpindahan mencecah rekod dunia pada 2017. Kini, PSG mahu melakukan perkara yang sama dengan mensasarkan Coutinho.
Sebelum ini, PSG terselamat dari tuduhan melanggar peraturan kewangan (FFP) selepas mendapatkan Neymar dan Kylian Mbappe pada musim panas yang sama.
Jika benar PSG berminat untuk mendapatkan Coutinho, sukar untuk kelab seperti Manchester United atau pun Chelsea untuk bersaing dengan mereka, kerana Coutinho memiliki klausa pelepasan bernilai €400 juta, dengan kontrak sehingga 2023 untuk terus kekal di Nou Camp.