Perlawanan melibatkan pertembungan adik beradik atau saudara kandung, sentiasa menjadi perlawanan yang dinanti-nantikan. Namun kita boleh melupakan perlawanan membabitkan adik beradik Lukaku.
Ini kerana usaha untuk mendapatkan khidmat pemain antarabangsa Belgium, Jordan Lukaku oleh Newcastle United tidak menjadi kenyataan -selepas kelab tersebut membatalkan niat untuk berbuat demikian.
Newcastle tidak mahu teruskan
Pemain pertahanan itu merupakan adik kepada penyerang Manchester United, Romelu Lukaku yang pada mulanya dijangka melengkapkan perpindahan secara pinjaman ke Tyneside semalam dari kelab asal beliau, Lazio.
Perkara itu diumumkan sendiri oleh Newcastle United melalui satu kenyataan semalam yang berbunyi: “Newcastle United mengesahkan Jordan Lukaku tidak akan menyertai kelab ini.”
Ini bermakna, Jordan yang sudah berada di Tyneside selepas dibenarkan berbuat demikian oleh Lazio, akan segera kembali ke Rom selepas gagal mendapatkan kontrak bersama kelab tersebut.
Masalah kecergasan?
Laporan dari Sky Sports berkata perjanjian di antara pemain itu dan Newcastle tidak diteruskan bukan kerana faktor kewangan.
Sebaliknya ia disebabkan oleh isu lain melibatkan laporan perubatan. Namun demikian, tiada butiran lengkap mengenai perkara tersebut didedahkan oleh Newcastle.
Pengurus pasukan, Rafael Benitez sebelum ini enggan memberi sebarang komen mengenai status Lukaku ketika sidang media pasukan menjelang perlawanan Piala FA menentang Watford.
“Anda tahu saya tidak akan bercakap mengenai jendela perpindahan. Saya juga tidak akan bercakap mengenai pemain lain, kerana kami memiliki pemain sedia ada,” kata Benitez kepada wartawan.
Benitez juga menyifatkan ianya tidak mudah untuk mendapatkan pemain yang berkualiti pada Januari, kerana kebanyakkan pasukan yang bagus sedang bersaing di pertandingan eropah, dan mereka enggan melepaskan pemain sedia ada.