Tidak Mahu Kuala Lumpur Terus Jadi Mangsa Belasahan, Yusri Fokus Mantapkan Jentera Pertahanan

MFL

Ketua jurulatih Kuala Lumpur, Yusri Che Lah mengakui skuad The Hawks perlu memperkemaskan benteng pertahanan andai mahu menjadi pencabar kejuaraan yang serius apabila tirai Liga Super bermula 1 Februari ini.

Lebih tepat, Yusri yang dilantik menjadi pengganti Fabio Maciel pada Disember lalu, enggan lagi melihat pasukan bimbingannya menjadi mangsa belasahan pada musim ini selepas Kuala Lumpur telah dibolosi 70 gol dalam tiga kejohanan Liga Malaysia tahun lalu.

Tanpa berselindung, bekas jurulatih Kelantan itu menegaskan, mengukuhkan benteng pertahanan menjadi fokus utama The Hawks selain berazam mahu memperbaiki rekod jaringan selepas sekadar menjaringkan 58 gol dalam kejohanan domestik.

Namun Yusri menyedari cabaran getir menanti anak buahnya terutama beberapa kelab di Liga Malaysia telah berbelanja besar mendapatkan penyerang import berkualiti tinggi antaranya Dickson Nwakaeme (Pahang) dan Diogo Luis Santo (Johor Darul Ta’zim) yang dijangka bakal menjadi igauan tonggak pertahanan pasukan Liga Malaysia.

Sebagai rekod, Kuala Lumpur bolos 51 gol dalam kempen Liga Super, Piala FA (4 gol) dan Piala Malaysia (14 gol) pada musim lalu.

“Sepanjang saya bersama pasukan baharu ini, banyak yang perlu saya perkemaskan terutamanya barisan pertahanan dan corak bertahan secara berpasukan.

“Ini kerana selepas kami melihat kepada fakta, pasukan Kuala Lumpur telah dibolosi 70 gol dalam tiga kejohanan musim lalu.

“Jadi pada pandangan peribadi saya, pasukan dalam Liga Super tidak hanya perlu fokus untuk menjaringkan gol tetapi pertahanan juga harus diperkemaskan apatah lagi kami bolos dengan banyak pada musim lalu.

“Pengalaman lalu bakal dijadikan iktibar kepada pemain-pemain saya dan saya berharap Kuala Lumpur tidak akan mudah dibolosi lagi dengan mana-mana pasukan lain pada musim ini,” katanya.

Bagi memantapkan benteng pertahanan, Yusri membawa masuk pemain baru antaranya Khair Jefri Jones, Fitri Omar dan Alif Samsudin.

Kuala Lumpur yang menduduki tangga ke-10 musim lalu, membuka kempen liga bertemu Pahang di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, Cheras sebelum berkunjung ke Johor Darul Ta’zim bagi aksi kedua di Stadium Tan Sri Dato Haji Hassan Yunos, Larkin pada 8 Febuari depan.

Artikel & foto oleh: MFL

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN