“Pahang boleh dikatakan seperti ‘kampung’ saya kerana peminat Tok Gajah begitu baik dan mahukan saya mewakili Pahang yang membuatkan diri ini begitu dekat.”
Itu merupakan kenyataan penyerang import yang sangat sinonim dengan saingan Liga Malaysia (Liga M) pada satu ketika dahulu, Dickson Nwakaeme sekembalinya ke padang latihan.
Nwakaeme bakal menyertai Pahang untuk saingan musim 2019 dan kehadirannya semula tampak diterima baik oleh barisan kejurulatihan dan juga para penyokong Tok Gajah.
Tanda pagar #cintakuluarbiasa turut menjadi tular di kalangan penyokong-penyokong tegar Pahang dan dikatakan digunakan khas untuk menyambut kepulangan ‘Orang Besi’ ini.
Namun, tanda pagar itu sebenarnya telah diangkat sebagai tema tahun ini oleh penyokong Pahang, Elephant Army untuk menggantikan #setiabersama yang digunakan pada musim lepas.
Nwakaeme meninggalkan Pahang selepas berakhirnya musim 2015 ketika perubahan secara besar-besaran dibuat oleh pengurusan pasukan membuatkan dia membawa diri ke Ligue 1, Perancis.
Namun, kariernya di sana tidak segah seperti di Malaysia, malah boleh dikatakan gagal apabila debutnya dicemari dengan jaringan gol sendiri olehnya yang mengakibatkan pasukannya tewas.
“Saya berterima kasih kepada Pahang kerana menerima kembali selepas tiga musim meninggalkan skuad ini iaitu kali terakhir pada 2015,” ujarnya kepada akhbar tempatan, Berita Harian.
Kembalinya ke bumi Pahang kerap kali disebut-sebut oleh para penyokong dan kini ia menjadi realiti serta mencipta fenomena tersendiri dengan ratusan penyokong hadir ke padang latihan.
Mereka hadir untuk melihat sendiri kelibat penyerang yang pernah membantu mereka menjulang Piala Sumbangsih, Piala FA dan juga Piala Malaysia sepanjang kariernya bersama Tok Gajah.
Sebelum itu, tular gambar ketibaan Nwakaeme yang disambut oleh pengurus Pahang, Dato Suffian Awang di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) untuk dibawa ke Kuantan.
Walaubagaimanapun, para penyokong Tok Gajah perlu sedikit bersabar kerana berkemungkinan prestasi dan tahap kecergasan Nwakaeme masih memerlukan pemantauan khusus.
Ini kerana sejak meninggalkan kelab Angers SCO pada Jun 2017, Nwakaeme tidak beraksi secara kompetatif malah tidak diikat oleh mana-mana pasukan akibat kecederaan yang dialaminya.