Vietnam berjaya menewaskan Yaman 2-0 dalam perlawanan terakhir peringkat kumpulan, Piala Asia 2019 untuk menyalakan semula peluang melangkah ke pusingan 16 terbaik.
Kini, mereka hanya perlu menanti sehingga lewat malam Khamis untuk mengetahui nasib mereka samaada Naga Emas adalah antara empat pasukan kedudukan ketiga terbaik.
Sebelum perlawanan, ketua jurulatih, Park Hang-seo awal-awal telah melaungkan keyakinan yang mereka akan merekodkan kemenangan menentang Yaman.
Gol sepakan percuma menarik dari Nguyen Quang Hai dan gol sepakan penalti yang disempurnakan oleh kapten, Que Ngoc Hai melengkapkan malam indah Vietnam.
Yaman yang turun dengan lima benteng telah memaksa anak didik Park bekerja keras menjana serangan untuk memecah kubu lawan sejak dari awal babak pertama.
Pada minit ke-17, Yaman terlebih dahulu hampir mengejutkan Vietnam hasil kesilapan penjaga gol, Dang Van Lam yang meninggalkan posisinya ketika sepakan percuma.
Ketika babak pertama hampir ditutup dengan kedudukan tanpa gol, Quang Hai telah menjelmakan gol sepakan percuma menarik untuk menceriakan penyokong mereka.
Terkenal dengan kapakaran melakukan gol daripada sepakan percuma, Quang Hai meledak gol tersebut dari jarak 30 meter menewaskan Salem Al-Harsh di gawang.
Perlawanan terus dikuasai Vietnam dalam usaha mereka untuk meletakkan diri dalam kedudukan terbaik di antara semua pasukan kedudukan ketiga.
Pemburuan gol besar adalah misi utama Park dan Naga Emas namun masalah di bahagian attacking third yang gagal memecah kubu lawan menjadi musuh utama.
Namun akhirnya, berpunca daripada Abdulaziz Al-Gumaei menjatuhkan Phan Van Duc di dalam kotak penalti telah menghadiahkan Vietnam sepakan penalti di minit ke-65.
Kapten, Ngoc Hai telah tampil untuk mengambil sepakan tersebut dan berjaya menyempurnakannya selepas memperdaya Al-Harsh untuk gol kedua buat mereka.
Dijangkakan Vietnam memiliki peluang yang lebih untuk layak ke pusingan seterusnya selepas hampir 12 tahun tidak beraksi di kejohanan bola sepak terbesar di Asia ini.
Sementara Yaman yang kali pertama beraksi di pentas Piala Asia akhirnya tunduk dan dihantar pulang awal tanpa menjaringkan sebarang gol dan melepaskan 10 gol.