Jaringan tunggal Cristiano Ronaldo pada minit ke-62 sudah cukup untuk mengesahkan kemenangan 1-0 Juventus keatas AC Milan sekaligus merupakan kejuaraan Supercoppa Italiana kelapan buat pasukan dari Turin itu.
Aksi yang berlangsung di King Abdullah Sports City, Arab Saudi itu seharusnya dimenangi dengan lebih selesa buat Juventus, namun Douglas Costa dan Joao Cancelo terlepas peluang terbaik dimiliki.
Lebih parah buat AC Milan apabila pemain tengah berusia 22 tahun, Franck Kessie dilayangkan kad merah pada minit ke-74.
Juventus berpeluang membuka tirai jaringan pada minit ke-34 menerusi Blaise Matuidi, namun pemain kelahiran Perancis itu terlebih dahulu dikesan ofsaid.
Skuad bimbingan Massimiliano Allegri itu terus memberikan ancaman tetapi percubaan akrobatik yang cuba dilakukan Cristiano Ronaldo sedikit tersasar untuk sekali lagi menyelamatkan gawang AC Milan.
AC Milan yang sesekali melakukan serangan memperoleh peluang menerusi Hakan Calhanoglu pada lewat babak pertama apabila meledakkan rembatan tepat kearah gol, Wojciech Szczesny bagaimanapun tidak berdepan masalah bagi menafikan percubaan tersebut.
Jaringan yang ditunggu-tunggu akhirnya menjelma pada babak kedua apabila Ronaldo bijak melepasi kawalan pertahanan AC Milan dan melonjak tinggi bagi menanduk bola hantaran Miralem Pjanic untuk gol pembukaan perlawanan.
Jaringan tersebut kekal hingga tamat perlawanan bagi menghadiahkan satu lagi kejuaraan Supercoppa Italiana buat Juventus.