Pertemuan AS Monaco menentang OC Nice dalam aksi Ligue 1 pada awal pagi esok bukan sahaja berkisar kepada misi mereka mengelak daripada zon penyingkiran, malah ia merupakan pertemuan semula dua bekas tonggak utama Arsenal.
Dua tonggak yang dimaksudkan adalah Thierry Henry dan Patrick Vieira yang membarisi skuad ‘Invincibles Arsenal’ musim 2003/04.
Seperti sedia maklum, Henry kini merupakan pengendali AS Monaco manakala OGC Nice yang menghuni tangga kelapan Ligue 1 pula dibimbing Patrick Vieira.
Pada musim gemilang tersebut, Henry dinobatkan selaku penjaring terbanyak Liga Perdana Inggeris selepas berjaya mencetak 30 gol dan Vieira pula merupakan ketua pasukan yang mengemudi rentak cemerlang The Gunners ketika itu.
Kedua-dua mereka akan bertemu buat pertama kali sebagai ‘musuh’ dalam aksi yang berlangsung di Stade Louis II.
Namun, bukan mereka berdua sahaja yang bakal merasai detik menarik ini dan ia juga akan melibatkan seorang lagi ‘ahli invincibles’ iaitu Cesc Fabregas yang baru sahaja dibawa masuk ke AS Monaco dari Chelsea.
”Dia (Patrick Vieira) merupakan rakan saya dan dia juga adalah seseorang yang saya kagumi.”
”Bukan hanya sebagai seorang pemain tetapi juga sebagai lelaki dan perlawanan ini tidak akan mengubahnya.”
”Tetapi ini adalah perlawanan Monaco bertemu Nice yang merupakan perkara paling penting dan buat ketika ini, kami tidak akan menyukai antara satu sama lain.”
Vieira turut mengulas mengenai aksi yang bakal menemukan mereka dan memuji kehebatan bekas rakan sepasukannya itu.
”Kami berjumpa di London ketika bercuti. Banyak yang kami bincangkan.”
”Ia akan menjadi detik pertama kali kami bertemu selaku jurulatih. Ia akan menjadi detik yang beralih. Kami berkongsi banyak benda bersama tetapi semua ini akan dilupakan (pada perlawanan nanti).”
”Ia akan menjadi pelik untuk melihat masing-masing di bangku simpanan. Kami memulakan karier di sini, dia (Thierry Henry) di Monaco dan saya di Cannes.”
”Ia akan menjadi situasi yang menggembirakan kami berdua. Saya tidak pernah membayangkan buat kali kedua kami akan menamatkannya dengan berada di bangku simpanan pada perlawanan derbi seperti ini.”
”Dalam karier Thierry, tidak banyak yang perlu ditambah. Apa yang dinikmatinya adalah luar biasa. Dia merupakan salah seorang pemain hebat dalam bola sepak Perancis, bersama Michel Platini, Raymond Kopa atau (Zinedine) Zidane.”