David Wagner Lepaskan Jawatan, Penyokong Huddersfield Kecewa Dan Ucap Terima Kasih

“Realiti yang kamu berikan hanyalah sekadar impian gila kami semua,” itulah kenyataan ramai penyokong Huddersfield sebagai penghargaan mereka kepada pengurus yang mereka iktiraf sebagai istimewa dan selayaknya bergelar legenda.

Ini selepas Wagner membawa mereka naik ke EPL dan kemudian kekal di liga utama tersebut.

Huddersfield mengumumkan bahawa David Wagner melepaskan jawatan beliau secara rasmi. Perletakan jawatan itu adalah atas persetujuan bersama.

Wagner dan Huddersfield duduk semeja untuk membincangkan isu tersebut dan berjaya mencapai kesepakatan. Mereka berharap perpisahan tersebut akan memberikan kebaikan kepada kedua-dua pihak pada masa akan datang.

Pengerusi Huddersfield, Dean Hoyle berkata: “Saya terlebih dahulu mengucapkan terima kasih David di atas apa yang beliau sudah capai di Huddersfield Town untuk 3 musim setengah.”

“Di bawah kendalian beliau kita telah mengecapi sesuatu yang mengatasi segalanya dalam ingatan kita pada era moden. Ianya telah menjadi impian paling gila oleh penyokong dan pengerusi sebelum ini [merujuk kepada kejayaan naik ke EPL].”

“Di bawah kendalian David, kelab ini menamatkan saingan liga di kedudukan terbaik selepas hampir 50 tahun dan kita bersama-sama mencipta kenangan yang tak akan dilupakan.”

“Pencapaian beliau selayaknya meletakkan beliau sebaris dengan nama-nama legenda dalam sejarah Huddersfield Town – seperti Herbert Chapman dan Mick Buxton; pengurus legenda yang mengubah wajah kelab ini.”

“Seperti yang saya tegaskan sebelum ini, kami tiada terfikir untuk memecat David musim ini. Namun David seorang yang sangat budiman, beliau datang berjumpa kami secara terbuka, dan menyatakan beliau mahu berehat daripada pengurusan bola sepak.”

“Kami terus meminta beliau untuk mengubah keputusan itu, namun beliau sudah menetapkan untuk pergi meninggalkan kita untuk baki musim.”

“Selepas perbincangan yang panjang, kami mahu David kekal sehingga ke akhir musim – kerana itu adalah yang terbaik pada pandangan kami. Namun kami berbincang secara terbuka dan akhirnya merasakan ‘berpisah’ adalah pilihan terbaik buat masa ini.”

“Saya tahu terma persetujuan bersama jarang berlaku dalam dunia profesional, namun untuk yang ini, ianya benar-benar atas keputusan bersama. David sangat sayangkan kelab ini, seperti saya, perkara yang kita utamakan adalah membuat keputusan yang terbaik untuk Huddersfield Town.”

“Saya tak mampu untuk mengucapkan terima kasih kepada David di atas apa yang beliau capai. Untuk David dan keluarganya, beliau akan kekal menjadi rakan saya dan Huddersfield Town.”

Dean menganggap ianya hari yang suram di Huddersfield. Buat masa ini Mark Hudson akan mengambil alih tugasan sebagai interim. Huddersfield akan berhadapan dengan Man. City selepas ini.

Ramai peminat Huddersfield sedih dan memahami kenapa David Wagner mahu pergi. Mereka juga mengucapkan terima kasih dan penghargaan kepada David Wagner yang menaikkan nama Huddersfield ke EPL. Sekaligus mengubah imej kelab itu menjadi lebih dikenali.

Bagi mereka, Wagner telah memberikan realiti yang selama ini hanyalah impian kelab kecil seperti mereka. Wagner juga membantu Huddersfield untuk kekal di dalam EPL walaupun dengan dana yang terhad dan gagal mendapat sokongan lebih baik daripada BOD.

David Wagner sudah beberapa kali gagal mendapatkan dana untuk membeli pemain baharu untuk menguatkan pasukan beliau.

Wagner merupakan protege kepada Jurgen Klopp, beliau menggemari bola sepak menyerang dan berintensiti tinggi. Sekurang-kurangnya beliau mahukan pasukan seperti Bournemouth yang mampu bermain dengan cara mereka sendiri.

Namun di Huddersfield beliau tidak mendapat unit pemain yang sesuai dengan kehendaknya. Beliau tidak diberikan sokongan yang lebih baik.

Ramai juga peminat Huddersfield mempersoalkan kejujuran kenyataan Pengerusi kelab – Dean Hoyle. Ini kerana sebelum ini ada desas desus Hoyle dan lembaga pengarah Huddersfield mahu membincangkan masa depan Wagner. Mereka meletakkan sasaran tidak realistik dengan budget yang kecil diberikan kepada Wagner.

Mereka berpendapat, selepas hal itu sampai ke pengetahuan Wagner, beliau agak kecewa. Dan itulah yang membawa kepada perletakan jawatan oleh Wagner.

Jelas sekali Wagner menjadi figura yang sangat disayangi oleh penyokong.

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN