Skuad Helang Merah raih kejuaraan yang pertama Unity Shield musim ini apabila menewaskan juara Piala Malaysia 2018, Perak dengan jaringan 2-0 di Stadium Darul Aman malam tadi.
Unity Shield adalah perlawanan yang diilhamkan oleh Dato’ Seri Mukhriz Tun Mahathir bagi menyatu padukan hubungan dua kelab bolasepak di utara tanahair iaitu antara Persatuan Bolasepak Kedah Darul Aman (KFA) dan Persatuan Bolasepak Perak (PAFA).
Selain itu, 50 peratus daripada hasil jualan tiket perlawanan itu akan disumbangkan kepada badan bukan kerajaan (NGO) terpilih di Kedah. Perlawanan itu juga akan berlangsung secara tahunan dengan giliran venue antara Alor Setar (2019) dan Ipoh (2020).
Pada perlawanan yang disaksikan oleh lebih 25,000 penonton itu, Perak melakukan percubaan pertama sehingga mencemaskan benteng pertahanan Kedah menerusi rembatan pemain import Leandro Dos Santos seawal minit ke-7.
Perak ternyata tidak putus asa untuk mengadakan asakan dan sempat menguji penjaga gol tuan rumah, Ifwat Akmal Chek Kassim pada minit ke-14.
Menurut laporan daripada Berita Harian, Kedah yang tersentak dengan cubaan itu kembali bangkit dan hampir meledak gol menerusi penyerang importnya, Jonatan Bauman pada minit ke-16 dan ke-33 tetapi gagal disudahkan.
Gol dinantikan Kedah akhirnya muncul pada minit ke-67 menerusi Fernando Rodriquez yang berpunca daripada sepakan percuma selepas Jonatan Bauman dijatuhkan.
Pemain gantian Syahrul Azwari Ibrahim yang masuk pada minit ke-73 tidak menunggu lama apabila menghadiahkan gol kedua, dua minit selepas dia dimasukkan melalui tandukan cantik menewaskan Hafizul Hakim yang berpunca hantaran Rizal Ghazali.
Perak berusaha mencari gol menerusi percubaan pemain pertahanan Shahrul Saad pada minit ke-81 dan Gilmar Da Silva, sembilan minit kemudian tetapi kedua-duanya tidak menemui sasaran.
Acara penyampaian hadiah disempurnakan oleh Menteri Besar Kedah yang juga Presiden Persatuan Bolasepak Kedah, Datuk Seri Mukhriz Mahathir dan Menteri Besar Perak Ahmad Faizal Azumu yang juga Presiden Persatuan Bolasepak Perak.