Bukan perkara yang perlu dirahsiakan lagi bahawa Manchester United mahukan Mauricio Pochettino sebagai pengurus mereka mulai pada musim hadapan – walaupun Ole Gunnar Solskjaer melakukan tugas beliau dengan cemerlang sebagai interim setakat ini.
Namun demikian, ianya tidaklah semudah yang disangka oleh juara Inggeris sebanyak 20 kali itu.
Tottenham nekad
Laporan terbaru dari UK menyatakan Tottenham kini menjadi lebih nekad daripada sebelum ini untuk memastikan pengurus dari Argentina itu tidak berhijrah ke Old Trafford pada musim panas akan datang.
Malah Pengerusi Tottenham, Daniel Levy berkata beliau akan menolak sebarang bentuk bidaan untuk Manchester United mendapatkan pengurus mereka itu – walaupun jika mereka menerima tawaran sebanyak £50 juta dari kelab Manchester tersebut.
Melalui laporan oleh Daily Mail, Levy dikatakan berkata Spurs tidak mahu mengambil risiko untuk apa yang akan berlaku kepada kelab tersebut jika Pochettino pergi meninggalkan mereka. Apatah lagi dengan segala jenis bentuk perancangan yang sedang dilakukan untuk menbangunkan kelab tersebut – termasuk pembinaan stadium baharu yang dijangka akan mulai digunakan pada Mac hadapan.
Tebus kontrak
Pochettino sebenarnya baharu sahaja menandatangani kontrak baharu untuk kekal bersama Spurs pada Mei tahun lalu – setelah turut dikaitkan dengan jawatan yang sama di Real Madrid.
Manchester United hanya perlu membayar £34 juta untuk menebus kontrak Pochettino, dan tambahan £16 juta sebagai ganti rugi. Namun Levy dikatakan tidak berminat untuk berbincang atau menerima sebarang penebusan kontrak bekas pengurus Southampton tersebut.
Malah Levy dilaporkan sanggup membenarkan Pochettino menentukan sendiri polisi perpindahan pemain pada jendela perpindahan akan datang – termasuk menentukan pemain mana yang beliau mahukan untuk memperkasakan Spurs.