Syazwan Andik kian hangat dikaitkan dengan JDT. Dan beliau dilaporkan sudah menjalani sesi latihan bersama JDT. Gambar yang tular itu telah mengundang banyak spekulasi.
Pihak pengurusan Kuala Lumpur FA (KLFA) – pada 11 Januari 2018 – mengeluarkan kenyataan panas dan menuduh Syazwan Andik mempermainkan mereka.
Namun KLFA menunjukkan kenaifan mereka dalam mengeluarkan kenyataan apabila memperjuangkan ‘persetujuan lisan’. Dalam mana-mana perjanjian, persetujuan lisan merujuk kepada verbal agreement, kebanyakannya dilakukan sebagai salah satu proses pertimbangan sebelum menandatangani kertas persetujuan akhir.
Setiausaha Agung Persatuan Bolasepak Kuala Lumpur (KLFA), Nokman Mustaffa berkata: “Beliau [Syazwan Andik] membuatkan kami dalam keadaan teperangkan. Dan cara beliau melakukannya sangat tidak beretika kerana kami mencapai persetujuan lisan.”
Nokman kemudian mengakui KLFA ada tunggakan gaji untuk Syazwan Andik. Oleh sebab itu mereka meminta pemain itu bersetuju secara lisan untuk terus kekal dalam pasukan Kuala Lumpur. Nokman menambah lagi, beliau terkejut kerana Syazwan tiba-tiba dikaitkan dengan JDT sedangkan sebelum ini ada desas desus pemain itu ke Melaka.
Nokman berkata: “Kami mendapat tahu daripada media dan dia kini berada di Johor.”
Syazwan sudah minta terminasi kontrak
Nokman Mustafa menyatakan Syazwan Andik sudah menghantar surat untuk menamatkan kontrak beliau bersama KLFA.
“Pada Rabu lalu, beliau ada hantar surat – menyatakan beliau mahu meninggalkan pasukan. Ini yang buatkan kami terperangkan kerana sebelum ini beliau sudah setuju – dalam perbincangan sebelum ini. Dan sekarang beliau berbuat seperti ini.”
Nokman kemudian mengesahkan pemain itu masih belum menandatangani kontrak, dan hanyalah bersetuju secara lisan.
“Syazwan Andik menyatakan persetujuan secara lisan namun belum menandatangani kontrak, jadi kami percaya dengannya. Sama seperti Irfan Zakaria, dia menandatangani kontrak semalam [Khamis] namun Syazwan pula menyatakan sebaliknya.”
Nokman kemudian menegaskan bahawa Syazwan Andik tidak datang bertemu dengan mereka.
Beliau mengakui kelompongan ini yang membuatkan pemain itu boleh mengaktifkan terminasi kontrak seperti yang terkandung dalam kertas kontrak Syazwan Andik-KLFA.
Dipetik daripada sumber Berita Harian, Nokman mengakui KLFA berdepan tunggakan gaji selama sebulan – dan kelompongan dalam kontraknya yang menyatakan sekiranya dia berdepan tunggakan gaji, kontraknya boleh dianggap terbatal.
KLFA dalam pertimbangan untuk membawa kes itu ke FAM. Mereka juga menunggus surat rasmi daripada JDT sekiranya kelab itu mahukan Syazwan Andik.
Syazwan Andik tampil dengan penjelasan
Syazwan Andik menerusi instagram beliau tampil dengan penjelasan ringkas dan padat. Beliau menyatakan menggunakan klausa 8.7 untuk mengaktifkan terminasi kontrak beliau.
Menurut Syazwan: KLFA dan beliau mencapai persetujuan – sebelum ini – jika ada tunggakan gaji, pemain ini berhak menggunakan klausa tersebut untuk meminta penamatan kontrak.
Bukan 1 tapi 2
Syazwan Andik menamatkan kontrak selepas 2 kali tidak dibayar gaji iaitu pada November dan Disember 2018.
Syazwan berkata: “Saya telah menamatkan kontrak saya bersama pasukan Kuala Lumpur kerana sudah dua bulan saya tidak menerima gaji.”
“Untuk bulan November dan Disember. Terdapat satu syarat dalam kontrak saya dengan KLFA yang membenarkan saya menamatkan kontrak jika saya tidak menerima gaji untuk dua bulan.”
“Saya telah memberi surat kepada Ketua Jurulatih Yusri Che Lah pada pada 9 Januari dan memberitahunya tentang hasrat saya untuk menamatkan kontrak. Saya juga telah menghantar e-mel kepada KLFA untuk menamatkan kontrak atas sebab tidak menerima gaji.”
Syazwan Andik: Kelibat itu bukan saya
Namun begitu, bek sisi kebangsaaan itu menafikan bahawa beliau merupakan orang yang di dalam gambar tersebut. Bercakap kepada Utusan Online, Syazwan dengan ringkas berkata: “Orang dalam gambar itu bukan saya.”
Beliau kemudian menjelaskan bahawa beliau belum membuat sebarang keputusan untuk menyertai pasukan tertentu. Ada beberapa tawaran di dalam pertimbangan beliau – tanpa menafikan JDT salah satu daripadanya.
“Saya belum tandatangani kontrak dengan mana-mana pasukan lagi dan tidak pasti [sama ada JDT atau kelab lain].”
“Lebih baik berdiam, tidak mahu kecoh nanti lagi pening. Ada tawaran tetapi saya tengah fikir lagi. Dalam minggu depan saya akan maklumkan beraksi untuk pasukan mana.”
Rumusan
Konklusi awal dalam isu ini yang kami buat: Syazwan Andik berhak untuk mengaktifkan terminasi kontrak pada bila-bila masa kerana sudah berlaku pelanggaran dalam syarat kontrak – iaitu pemain menyatakan sudah 2 bulan tak dibayar gaji ataupun 2 kali jadual pembayaran gaji tidak ditunaikan KLFA.
Berkenaan dengan persetujuan lisan seperti yang dinyatakan oleh KLFA: Dalam bola sepak, setiap pemain dan jurulatih berhak untuk melakukan seberapa banyak perjanjian lisan sekalipun sebelum mereka memberikan komitmen rasmi dengan menurunkan tandantangan mereka ke atas kertas kontrak.
Itu yang kita sering dengar media di Eropah menyatakan: “Alexis Sanchez mempertimbangkan tawaran Man. City, Bayern Munich dan Man. United,” – itu antara contoh tajuk akhbar dahulu ketika pemain itu mahu meninggalkan Arsenal.
Secara tak langsung, Sanchez ataupun wakil beliau sudah bercakap dengan kelab-kelab itu. Baru-baru ini, Ramsey dikatakan sudah bercakap dengan banyak kelab sebagai pemain ejen bebas. Secara teknikalnya, ketika inilah proses perjanjian lisan diberikan.
Agak ironi kerana sebelum ini KLFA ‘menyailang’ Yusri Che Lah dari Kelantan. Ini kerana Kelanta FA sudah umumkan Yusri sebagai pengendali mereka – rupa-rupanya ianya sekadar perjanjian lisan dalam perbincangan untuk mengaktifkan lanjutan kontrak setahun lagi.
Memanglah dari segi moral, melanggar perjanjian lisan itu tidak elok, namun pada masa sama, Syazwan juga menceritakan KLFA tidak membayar gaji beliau. Maka itu turut melibatkan isu etika dan moral.
Dalam kes Syazwan Andik, KLFA dilaporkan; sepatutnya berhak mendapat sekitar RM1.6 juta daripada perpindahan pemain itu. Namun berdasarkan maklumat yang diberikan Syazwan Andik, hanya kerana tidak membayar gaji 2 bulan, KLFA hilang jumlah pampasan itu.
https://www.instagram.com/p/BsfnlFKh5_u/
Dengan KLFA masih mahu memperjuangkan kes ini, sama-sama kita tunggu kemaskini daripada kes ini dari semasa ke semasa. Buat masa ini, kami tinggalkan anda dengan konklusi awal ini dahulu.
Apa pula pandangan anda?