Malaysian Football League (MFL) hari ini mengeluarkan jadual perlawanan Liga Super dan Liga Premier musim baharu 2019 yang bakal bermula pada 1 Februari ini.
Menurut Ketua Pegawai Eksekutif MFL Kevin Ramalingam, meskipun berlaku sedikit kelewatan dalam menyiapkan jadual perlawanan itu, ia tidak dapat dielakkan atas beberapa faktor termasuk perubahan pasukan bertanding pada saat akhir dan pengesahan venue pertandingan.
“Mengikut perancangan, kita mahu mengeluarkan jadual pada awal Januari tapi kita menghadapi sedikit kekangan di mana kita hanya mendapat keputusan senarai penuh pasukan yang mengambil bahagian pada 27 Disember lalu.
“Ini berikutan ada perubahan berkaitan pasukan yang dinaikkan taraf ke Liga Super dan Liga Premier. Kita hanya dapat menyiapkan jadual selepas keputusan itu dibuat dan perlu mengambil sedikit masa kerana pasukan berkenaan perlu melengkapkan beberapa keperluan pertandingan termasuk stadium yang akan digunakan.
“Bagaimanapun dengan jadual perlawanan yang dikeluarkan hari ini, kita berharap ia dapat menjawab segala persoalan yang dibangkitkan dan memudahkan pasukan serta penyokong merangka perjalanan bagi menyaksikan perlawanan liga musim ini. Kami di MFL sentiasa prihatin kepada kehendak pasukan dan penyokong,” katanya.
Perubahan berlaku pada senarai 12 pasukan yang bertanding dalam Liga Super di mana Persatuan Bolasepak India Malaysia (MIFA) yang menduduki tempat ketiga Liga Premier tahun lalu dinaikkan taraf ke saingan elit musim ini bagi menggantikan Felcra FC yang menarik diri.
Manakala beberapa proses perbincangan terpaksa dilakukan untuk menilai penyertaan Terengganu FC II (TFC II) dan Perlis untuk mengambil tempat Kuantan FA dan Terengganu City FC (TCFC) serta mempertimbangkan rayuan UKM FC untuk melengkapkan 12 pasukan Liga Perdana.
Kevin berkata, pihaknya sudah menyerahkan kalendar liga dua tahun lebih awal kepada semua pasukan dan MFL merancang untuk mengeluarkan jadual perlawanan musim depan pada November ini.
“Kita sudah mengeluarkan kalendar liga sepanjang dua tahun, kita akan pastikan setiap hujung musim semua pasukan memiliki kalendar liga dua tahun dalam tangan.
“Ini memberi mereka peluang merancang aktiviti masing-masing dan mengkomersialkan ruang-ruang yang ada untuk memastikan mereka lebih bersedia dari segi kewangan dan teknikal. Malah ini juga akan memudahkan penyokong membuat perancangan awal untuk menyaksikan perlawanan pasukan masing-masing.
“Pada 2019 kita mahu pasukan mengesahkan venue rasmi mereka di dalam Pelesenan Kelab pada 30 Jun ini jadi jika kita ada maklumat ini awal, kita boleh memberikan jadual perlawanan lebih awal lagi.
“Kita komited untuk mengeluarkan jadual liga musim 2020 pada November 2019 jadi kita akan beri jadual sekurang-kurangnya dua bulan lebih awal sebelum sepak mula liga,” katanya.