Naib Presiden Persatuan Bolasepak Kedah (KFA) Mohd Yusuri Yusof menyifatkan mereka sudah mendapat gambaran baharu dalam isu perpindahan Akhyar Rashid selepas mendapat penerangan terperinci Ketua Pegawai Eksekutif Malaysian Football League (MFL) Kevin Ramalingam.
Hari ini, Yusuri selaku wakil KFA telah bertemu Kevin di ibu pejabat MFL di Menara OBYU Damansara Perdana pada jam 2.30 petang selepas mereka tidak menghadiri Taklimat Bolasepak Liga Malaysia (Liga-M) di Johor Bharu pada 3 Januari lalu.
Pertemuan yang memakan masa satu jam menyaksikan banyak input positif hadir di antara kedua-dua pihak selepas Yusuri mendedahkan KFA telah dijelaskan peranan MFL sebagai rakan kongsi selain perlembagaan badan pentadbir liga tempatan itu.
Bagaimanapun Yusuri tidak mahu mengulas lanjut mengenai isu Akhyar sebaliknya mereka mahu mengadakan perbincangan semula dengan pihak pengurusan tertinggi KFA berhubung status bekas pemainnya.
“Alhamdulillah, tadi kami ada sesi perbincangan yang cukup terperinci disampaikan daripada Kevin di mana ada beberapa perkara dikongsi dengan kami wakil KFA
“Kita juga diceritakan tentang jadual perlawanan dan Insyaallah ia akan memudahkan persiapan pasukan-pasukan di Liga-M ini lebih awal iaitu jadual perlawanan bagi musim 2020 dan 2021 (akan diberikan kepada setiap pasukan).
“Di samping itu juga kita juga mendapat penjelasan tentang ejen pemain yang berdaftar dan tidak berdaftar selain kontrak pemain.
“Malah kami diberikan penjelasan cukup mendalam tentang penglibatan MFL dan penerangan berhubung Perlembagaan MFL. Alhamdulillah daripada situ kami sudah faham apa yang harus dilakukan untuk saya kongsikan segala butiran ini kepada pihak pengurusan tertinggi KFA sebaik kami pulang ke sana hari ini,” katanya ketika ditemui media.
Terdahulu, KFA telah bersedia untuk mengheret isu perebutan pemain mudanya, Akhyar dan kelab Johor Darul Ta’zim (JDT) ke Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) dan Mahkamah Timbang Tara Sukan (CAS) selepas tidak berpuas hati dengan proses perpindahan pemain itu.
Artikel oleh: MFL