Ketika Tottenham Hotspur hanya berkelebihan satu jaringan keatas Chelsea, juara bertahan, Manchester City kelihatan hampir pasti menempah slot ke final Piala Carabao selepas membelasah Burton Albion 9-0 dalam aksi separuh akhir pertama di Etihad Stadium, awal pagi tadi.
Manchester City mendahului 4-0 pada babak pertama dan menambah lima jaringan lagi di separuh masa kedua untuk memberikan pengalaman yang cukup berguna buat lawan yang beraksi dalam saingan EFL League One itu.
Penyerang kelahiran Brazil, Gabriel Jesus membuktikan bisa penyudah dimilikinya apabila berjaya menjaringkan empat gol manakala Kevin De Bruyne, Olexandr Zinchenko, Phil Foden, Kyle Walker dan Riyad Mahrez masing-masing mencetak satu jaringan.
Walaupun berdepan pasukan yang boleh dikatakan tidak setanding dengan pasukannya, Pep Guardiola masih membariskan pemain nama besar mereka dan hanya memberikan peluang buat pemain muda seperti Arijanet Muric dan Eric Garcia diletakkan di kesebelasan utama pasukan.
Sebagai rekod, Manchester City telah menjuarai lima edisi saingan Piala Carabao (Piala Liga) dan kali terakhir adalah pada musim lalu apabila menewaskan Arsenal 3-0 pada perlawanan akhir.