Jaringan tunggal pada minit ke-26 oleh Anas Bani Yaseen sudah cukup untuk memberikan kejutan buat juara bertahan, Australia pada perlawanan pembukaan kumpulan B di Hazza Bin Zayed Stadium, malam tadi.
Australia yang dibarisi sebahagian besar pemain yang beraksi dalam saingan bola sepak di Eropah dilihat tidak berdepan masalah untuk meraih kemenangan pada perlawanan ini.
Namun, ia hanya ramalan di atas kertas, aksi sebenar di atas padang jelas berbeza dan memberikan kesukaran buat Australia bagi menembusi gawang Jordan yang dikawal Amer Shafi.
Jordan yang dibimbing Vital Borkelmans berjaya menyaingi aksi The Socceroos, walaupun mereka kelihatan mendominasi permainan.
Berpunca daripada sepakan sudut pendek dari sebelah kanan pintu gol Australia, Salem Mahmoud Suleim melakukan hantaran lintang yang terus ditanduk masuk oleh Anas Bani bagi menewaskan penjaga gol, Mathew Ryan.
Baha Abdulrahman hampir menjadikan kedudukan 2-0, namun sepakan percuma yang diambil sekadar singgah di palang gol Australia.
Kelebihan penguasaan permainan dimiliki skuad bimbingan Graham Arnold jelas tidak memberikan sebarang makna buat pasukan tersebut.
Percubaan berbahaya pada minit-minit akhir permainan menerusi Christopher Oikonomidis dan Jackson Irvine berjaya dinafikan Amer Shafi untuk menghadiahkan kemenangan yang cukup bermakna ini buat Jordan.
Satu lagi aksi dalam kumpulan B menyaksikan Syria dan Palestin terikat tanpa jaringan manakala tuan rumah, Emiriah Arab Bersatu dan Syria yang beraksi dalam kumpulan A turut mencatatkan keputusan seri (1-1).
Foto: AFC & AFC Asian Cup 2019