Persatuan Bola Sepak Pulau Pinang (FAP) hari ini telah mengumumkan senarai awal tiga pemain import yang telah dirantai pasukan Liga Premier itu bagi mengharungi kancah Liga Malaysia (Liga-M) musim depan.
Menerusi laman rasmi Facebook FA Penang, tiga pemain import baharu yang disahkan menyertai mereka adalah Julian Battaro (Argentina), Ndumba Makeche (Australia) dan Sebastien Thuriere (Haiti).
Manakala pemain dari Korea Selatan, Kang Seung Jo merupakan satu-satunya pemain import yang dikekalkan dari skuad 2018.
Dalam perkembangan sama, FAP turut mengumumkan sebelas pemain tempatan baharu – Syamim, Faizal, Tunku Hidayat, Segar, Sivanesan, Hafiz Harun, Dhiyaulrahman, Lim Yong Sheng, Rahizi, Ramze, Som Keat dan seorang pemain naturalisasi Stuart Wark.
Dikekalkan
Sementara itu, hanya enam pemain sahaja dalam skuad Pulau Pinang 2018 yang dikekalkan iaitu; Azrul Ahmad, Abdul Qayyum, Khairul Akmal, Nurfais Johari, Hazrull Hafiz dan Afif Azman.
Manakala Asyraf Rojani dan Hasrul Che Halim merupakan antara pemain yang telah dinaikkan pangkat dari skuad Piala Presiden ke skuad senior.
Selesai tungakkan gaji
Terdahulu, FAP telah mengumumkan bahawa permasalahan tunggakkan gaji pegawai dan pemain 2018 telah diselesaikan.
Menerusi satu kenyataan, FAP berkata, segala tunggakan gaji pegawai dan pemain Liga Premier, Piala Belia dan Piala Presiden 2018 telah selesai.
“Alhamdulillah tunggakan gaji pegawai dan pemain pada musim 2018 telah diselesaikan pada hari ini (31 Disember).”
“FAP mengucapkan terima kasih yang tidak terhingga kepada Kerajaan Negeri Pulau Pinang, Ketua Menteri Pulau Pinang, Y.A.B Chow Kon Yeow, Presiden FAP, Y.B Dr. Amar Pritpal Abdullah dan pada semua yang berusaha membantu menyelesaikan isu ini.”
“Terima kasih..! Terima kasih..! Terima kasih..!.”
FAP sebelum ini menghadapi kemelut tunggakan gaji apabila beberapa bekas pemain tampil mendedahkan persatuan tersebut tidak mengotakan janji untuk membayar tunggakan gaji selama lima ke enam bulan selepas diterajui pengurusan baharu.
Presiden FAP, Dr Amar Pritpal pada awalnya berjanji akan melangsaikan tunggakan tersebut pada 18 Oktober, namun selepas sebulan berlalu, persatuan itu terus mendiamkan diri sehingga membuatkan bekas-bekas pemainnya hilang sabar dan membuat pendedahan kepada media.
Kredit foto: FA Penang