Dua gelaran Globe Soccer Award 2018 berjaya diraih oleh bintang Juventus, Cristiano Ronaldo.
Ronaldo dinobatkan sebagai pemenang dalam kategori Best Goal of the Year dan Best Player of the Year.
Namun, pemain Portugal itu masih belum berpuas hati dan ingin meraih lebih banyak gelaran lagi bersama kelab barunya, Juventus di tahun 2019 ini.
Ronaldo menyertai Bianconeri selepas berakhirnya kejohanan Piala Dunia 2018 dengan kontrak selama empat tahun bersama juara Itali itu.
Bagaimanapun, dua anugerah yang diraihnya di Globe Soccer Award 2018 merupakan anugerah pertamanya bersama Juventus dan sudah pasti ianya telah membakar semangat beliau untuk mengecapi pelbagai lagi kejayaan untuk tahun 2019.
Ucapan terima kasih
Ronaldo mengakui beliau begitu gembira selepas menerima anugerah tersebut.
Beliau memberi ucapan ribuan terima kasih kepada keluarga, kenalan terdekat dan tidak lupa kepada ejennya, Jorge Mendes yang sentiasa menyokong beliau.
Menerusi Football Italia, Ronaldo dipetik sebagai berkata, “Sebuah kebanggaan mampu mendapatkan trofi ini. Saya ingin berterima kasih kepada keluarga saya, kekasih saya, anak saya, teman saya, Jorge Mendes, dan semua staf.”
Katanya lagi, “Meskipun ini adalah tahun (2018) yang sukar, saya memenangi banyak trofi, termasuk Liga Juara-Juara Eropah. Tahun yang luar biasa.”
Selain itu, pemain berusia 33 tahun itu turut memuat naik gambar di laman sosial Instagram miliknya dengan memberitahu bahawa dirinya sangat gembira selepas menerima anugerah tersebut.
Trofi bersama Juventus
Ronaldo bagaimanapun bertekad ingin meraih gelaran yang lebih banyak lagi pada tahun 2019 bersama kelab barunya, Juventus.
“Sekarang 2019 adalah tahun yang baru, saya impikan mampu memenangi banyak trofi untuk Juventus, yang merupakan kelub baru saya.”
“Saya adalah orang yang menyukai cabaran, jadi hidup baru saya ada di Turin dan saya ingin ingin memenangi trofi sebanyak mungkin,” tambahnya.