Kuota pemain import skuad Terengganu FC (TFC) untuk saingan Liga Malaysia 2019 akhirnya sudah lengkap sepenuhnya apabila mereka mengumumkan pemain tengah dari Uzbekistan, Sanjar Shaakhmedov sebagai pemain baharu mereka semalam.
Pihak Terengganu FC sebelum itu memuat naik satu video ‘teaser’ di akaun media sosial mereka dengan memberi bayangan pemain tersebut datangnya daripada kelab juara Liga Uzbekistan, Lokomotiv Tashkent.
🏴🏳️HE’S ON HIS WAY 👋👋👋🏴🏳️#TerengganuFC2019 #webleedblackandwhite pic.twitter.com/PyMTEWc4LY
— Terengganu Football Club (@FCTerengganu) January 1, 2019
Pemain yang berusia 29 tahun itu dianggap sebagai bintang di negaranya kerana beliau merupakan antara pemain tengah terbaik dalam saingan Liga Uzbekistan.
Beliau juga merupakan pemain kesayangan pasukan Lokomotiv Tashkent dan telah diundi oleh penyokong mereka sebagai pemain tengah terbaik serta pemain terbaik Lokomotiv bagi musim 2018. Pencapaian itu sudah cukup membuktikan kualiti yang ada padanya.
Bedasarkan rekod beliau bersama kelab Lokomotiv Taskent, pemain kaki kidal itu telah memenangi 3 gelaran kejuaraan bersama pasukan itu dalam saingan Liga Super Uzbekistan pada tahun 2016, 2017 dan 2018.
🏴🏳️FAKTA SANJAR SHAAKHMEDOV🏳️🏴
-sebelum ini beraksi bersama pasukan PFC Lokomotiv Tashkent -memenangi 3 kejuaraan Super League Uzbekistan pada tahun 2016, 2017 dan 2018
-pemain terbaik pasukan itu untuk musim 2018.
-pengalaman beraksi di / AFC Champions League hampir 3 tahun. pic.twitter.com/BR0tcsto4s— Terengganu Football Club (@FCTerengganu) January 1, 2019
Sanjar juga telah berpengalaman beraksi di saingan bola sepak peringkat tertinggi di Asia iaitu AFC Champions League selama hampir 3 tahun. Di kelab lamanya, Sanjar beraksi sebagai pemain tengah dan juga boleh beraksi di sebelah sayap kiri dan kanan pasukan.
Menurut Terengganu FC, gandingannya bersama Lee Tuck di bahagian tengah mampu memberi ancaman kepada lawan kerana Sanjar dikenali sebagai salah seorang pemain yang sangat bekerja keras dan kreatif dalam pasukan.
Selain Sanjar dan Lee Tuck, skuad kendalian Irfan Bakti turut diperkuatkan oleh tiga lagi pemain import iaitu Thierry Chanta Bin (Kemboja), Igor Zonjic (Serbia) dan Kipre Tchetche (Ivory Coast).
Beliau akan memakai jersi bernombor 15 bagi musim 2019 bersama TFC dan dijangkakan tidak akan mengambil masa yang lama untuk memikat hati penyokong di Terengganu dan juga Malaysia.