Jika Mohamed Salah dan Virgil Van Dijk mengalami kecederaan pada waktu yang sama, ini akan mengagalkan usaha Liverpool untuk meraih trofi kejuaraan Liga Perdana Inggeris (EPL) untuk musim ini.
Demikian pendapat yang dilontarkan oleh bekas pemain Liverpool, Steve McManaman yang mendakwa The Reds akan gagal jika mereka kehilangan dua tonggak penting itu pada waktu yang sama.
Menurutnya, Salah dan Van Dijk adalah kunci kekuatan Liverpool musim ini dan tanpa mereka berdua, mungkin Liverpool tidak akan berada seperti yang dilihat pada ketika ini.
“Jika Liverpool dihimpit kecederaan yang serius keatas Van Dijk atau Salah, pada waktu yang sama, apa yang anda fikirkan (muncul juara) akan berubah.”
Jangan terlalu berharap untuk juara
Hampir seluruh penyokong The Reds optimis yang Liverpool mampu menjulang trofi kejuaraan liga musim ini.
Namun bagi McManaman, beliau menasihatkan agar semua penyokong supaya jangan terlalu meletakkan harapan besar buat pasukan.
Seperti yang dikatakannya, pasukan hanya bergantung harap pada Salah dan Van Dijk, dan Liverpool tidak akan hebat tanpa mereka berdua.
Sebaliknya, beliau cuma meminta penyokong meletakkan harapan kepada semua pemain agar mereka berada dalam keadaan cergas sepenuhnya pada setiap masa.
Menurutnya, sesebuah pasukan itu akan berjaya dalam bola sepak jika mereka bermain dalam satu pasukan tanpa meletakkan harapan pada individu.
“Bola sepak adalah salah satu daripada perkara itu. Apabila mereka mengatakan bahawa anda perlu melalui satu demi satu perlawanan, itulah yang perlu anda lakukan.”
“Anda perlu mengharapkan semua orang kekal cergas dan pasukan yang terbaik akan menang,” katanya.
Pada Oktober lalu, Liverpool telah kehilangan dua pemain ini akibat kecederaan.
Salah mengalami kecederaan di pangkal paha sementara Van Dijk bergelut dengan kecederaan patah tulang rusuk, sebelum mereka pulih sepenuhnya selepas menjalani rawatan susulan di Melwood.