Liverpool pantas bangkit dari ketinggalan satu gol untuk berpesta jaringan di Anfield bagi menundukkan Arsenal 5-1 pada perlawanan yang berlangsung awal pagi tadi, dibantu jaringan hatrik oleh Roberto Firmino.
Lebih menggembirakan, pesaing utama The Reds di tangga kedua Liga Perdana Inggeris, Tottenham Hotspur mengalami kekalahan mengejut 1-3 keatas Wolverhampton Wanderers di laman sendiri.
Keadaan yang membolehkan skuad bimbingan Jurgen Klopp itu meninggalkan Spurs dengan kelebihan sembilan mata.
Arsenal tak mampu kekang Liverpool
Pemain muda Arsenal, Ainsley Cory Maitland-Niles terlebih dahulu mengejutkan Liverpool pada minit ke-11 selepas beliau yang tidak dikawal dengan mudah menolak masuk bola hasil hantaran lintang Alex Iwobi untuk menewaskan Alisson Becker.
Kegembiraan pasukan pelawat bagaimanapun hanya bertahan selama tiga minit setelah Roberto Firmino kembali menyamakan kedudukan.
Jaringan penyamaan tersebut terhasil berikutan kesilapan pertahanan Arsenal, Stephan Lichtsteiner yang cuba mengeluarkan bola dari kawasan bahaya, namun, terkena rakan sepasukannya, Shkodran Mustafi menyebabkan bola singgah di kaki Firmino untuk ‘no look goal’ daripada pemain antarabangsa Brazil itu.
Firmino sekali lagi menemui sentuhan jaringan hanya berselang dua minit selepas jaringan pertamanya dihasilkan.
Berpunca daripada kegagalan Lucas Torreira mengawal bola dengan baik di kawasan tengah memberikan peluang buat Firmino yang melakukan gerakan solo sekaligus meledakkan jaringan menerusi rembatan leret untuk menjadikan kedudukan 2-1.
Liverpool terus bernafsu menambah jaringan dan giliran Sadio Mane pula meletakkan nama selaku penjaring gol ketiga pada minit ke-32.
Bermula daripada satu hantaran jauh dilakukan Andrew Robertson yang mencari Mohamed Salah, penjaring terbanyak Liverpool itu mengumpan bola buat Mane yang tidak berdepan masalah merobek gawang Arsenal.
Salah kemudiannya menyempurnakan sepakan penalti pada minit akhir babak pertama selepas beliau sendiri dikasari dalam kawasan penalti oleh Sokratis Papastathopoulos.
Firmino menutup pesta jaringan Liverpool pada minit ke-65 sekaligus melengkapkan hatrik menerusi sepakan penalti yang gagal dihalang Bernd Leno untuk mengesahkan kemenangan 5-1 buat pendahulu liga tersebut.
Kelebihan sembilan mata yang dikecapi Liverpool ketika ini boleh berkurangan kepada tujuh mata sekiranya Manchester City berjaya menundukkan Southampton pada malam ini.