Bintang Tottenham Hotspurs, Dele Alli mengaku dirinya selalu terkejut apabila ada pemain yang dianggap lebih bagus darinya datang, lalu mengajaknya untuk menukar jersi selepas perlawanan.
Menurut Alli, tradisi menukar jersi dengan pemain lawan selepas perlawanan berakhir adalah perkara biasa yang dilakukannya sejak dahulu lagi.
Namun, apabila didatangi oleh pemain yang dianggapnya lebih ‘hebat’, ia amat mengejutkannya sama sekali.
“Saya sentiasa terkejut dengan pemain yang anda fikir sangat bagus dan selepas perlawanan, dia memanggil saya dan meminta untuk bertukar jersi.” kata Alli menerusi Dailymail.
“Itu selalu memberikan kejutan. Saya fikir tindakan (tukar jersi) seperti itu boleh mengubah persepsi anda terhadap seseorang – menunjukkan bagaimana rendahnya diri mereka.”
Alvaro Morata?
Alli memberi contoh pemain seperti Alvaro Morata, yang pernah mengajaknya bertukar jersi selepas perlawanan.
Beliau menceritakan saat dirinya didatangi penyerang Chelsea itu selepas berakhir perlawanan Spurs dengan Chelsea pada Ogos musim lalu.
“Saya fikir perkara yang paling mengejutkan adalah Alvaro Morata. Beliau adalah pemain Chelsea dan kedua-dua pasukan ini adalah musuh tradisi (London Derby).”
Kata Alli lagi, lebih mengejutkan apabila Morata turut memuat naik gambar jersinya di media sosial Instagram – milik penyerang kelahiran Sepanyol itu.
“Saya rasakan dia memuat naik (gambar) di Instagram selepas itu. Hanya ingin menunjukkan betapa baiknya dirinya.”
Dele Alli telah bersama Tottenham Hotspur selama tiga musim selepas kelab itu membelinya dari Milton Keynes Dons pada tahun 2015.
Sejak itu, Alli telah berjaya membuat penampilan sebanyak 165 perlawanan dan berjaya mencetak 52 gol secara keseluruhan.