Eden Hazard enggan terlalu memikirkan soal gosip perpindahannya terutama ke Real Madrid, sebaliknya mahu memberikan fokus terhadap aksinya bersama Chelsea pada musim ini.
Hazard yang merupakan penjaring terbanyak Chelsea musim ini dengan 10 gol dan mencipta sembilan bantuan jaringan, turut menegaskan hanya akan membuat keputusan mengenai masa depannya pada penghujung musim ini.
Bercakap kepada Goal selepas berjaya menjaringkan dua gol pada perlawanan bertemu Watford, Hazard mengakui mahu fokus dalam memperagakan aksi terbaik di padang.
”Saya hanya mahu fokus dengan aksi saya di atas padang.”
”Saya akan melihatnya pada penghujung musim ini.”
Pemain antarabangsa Belgium itu sebelum ini mengatakan mahu menjadi legenda Chelsea sebaris dengan John Terry, Frank Lampard dan Didier Drogba.
Sejak direkrut Chelsea pada 2012 dari Lille, Eden Hazard telah berjaya menghasilkan 101 jaringan buat Chelsea sekaligus meletakkan beliau sebagai antara pemain yang sudah disayangi dalam kalangan penyokong The Blues.
Hazard sebelum ini pernah membuat pengakuan bahawa menyertai Real Madrid adalah menjadi impian buatnya.