Krismas adalah masa paling diingati untuk bergembira bersama keluarga. Tetapi bagi Pep Guardiola dan anak-anak buahnya di Manchester City, Krismas 2018 mungkin akan dilupakan secepat mungkin selepas mengalami 2 kekalahan berturut-turut dalam masa 5 hari – kali pertama bagi City sejak Disember 2016.
Kekalahan ini menghumban City ke tangga ke-3 Premier League. Tottenham Hotspur yang membelasah Bournemouth 5-0 semalam naik ke tangga kedua. Sementara itu Liverpool selesa dengan jurang mata 6 mata di atas Spurs selepas mudah menumbangkan Newcastle United 4-0 di Anfield.
Pelawat terlebih dahulu menjaringkan gol pada minit ke-14 apabila mudah memanfaatkan aksi pertahanan longlai dari tuan rumah apabila hantaran Sergio Aguero menemui Bernardo Silva yang tenang menyudahkan peluang melepasi Kasper Scmeichel.
Tetapi gol pendahuluan City itu hanya bertahan 5 minit. Marc Albrighton kemudiannya berjaya menanduk masuk hantaran lintang Jamie Vardy.
Pertahanan yang longgar, ditambah pula dengan ruang besar yang diberikan kepada Vardy untuk membuat hantaran lintang dari kiri, membolehkan Albrighton melepaskan diri dari kawalan Fabian Delph untuk menanduk gol penyamaan menewaskan Ederson.
City mempunyai peluang untuk mengembalikan pendahuluan mereka. Tetapi apabila peluang tiba kepada Aguero, Kevin de Bruyne dan Leroy Sane, mereka gagal menyudahkannya.
Leicester juga mempunyai peluang utnuk menambah gol menerusi percubaan Vardy, James Maddison dan Hamza Choudhury. Tetapi pada separuh masa kedua, mereka terpaksa bertahan di depan kubu pertahanan mereka sendiri untuk mengehadkan percubaan gol City kepada 4 sahaja.
Leicester yang sebelum ini hanya menang 1 dalam 8 perlawanan, hingga menimbulkan spekulasi pengurus mereka, Claude Puel, akan dipecat, menampilkan persembahan defensif berkualiti untuk mneghampakan anak buah Guardiola.
Persembahan Schmeichel, Harry Maguire dan Wes Morgan paling mencuri perhatian semalam. Dan ia penting bagi Leicester sebelum bek kanan mereka, Ricardo Pereira melepaskan misil rembatan jarak jauh pada minit 81′ untuk membawa Leicester ke tangga ke-7 liga, hanya 4 mata di belakang Manchester United.
Fabian Delph kemudiannya mengesahkan kemenangan Leicester apabila dibuang padang pada hujung-hujung perlawanan selepas didapati bersalah membentes keras Ricardo.
Selepas ini Manchester City akan menentang Southampton pada 30 Disember, sebelum bertemu dengan pendahulu liga Liverpool di Etihad Stadium pada 3 Januari.