Selepas Filipina, kini giliran rakan serantau, Thailand pula terpaksa melupakan khidmat penjaga gol utama, Kawin Thamsatchanan untuk kejohanan Piala Asia 2019 akibat kecederaan.
Kawin yang terlepas hampir 11 perlawanan untuk OH Leuven di divisyen 2 Belgium akibat kecederaan kaki tetap pulang ke Thailand untuk menyertai kem latihan skuad kebangsaan.
Ini kerana, dua penjaga gol yang menggantikannya di Piala AFF Suzuki 2018 yang lalu, Siwarak Tedsungnoen dan Chatchai Budprom dilihat gagal mencapai tahap yang diinginkan.
Selepas seminggu di kem latihan, penjaga gawang nombor satu skuad Gajah Perang itu akhirnya terpaksa mengalah dengan tahap kecergasan dan situasi kecederaan yang melanda dirinya.
Mengakui kecewa, Kawin membuat keputusan untuk menarik dirinya sehari sebelum senarai 23 pemain ke Piala Asia 2019 diumumkan oleh ketua jurulatih, Milovan Rajevac.
“Keadaan saya semakin baik tetapi ia tidak cukup bagus untuk saya meneruskan latihan. Setelah berbincang, saya dan jurulatih telah bersetuju untuk tidak mengambil risiko.
“Saya benar-benar kecewa tidak dapat bermain bersama pasukan tetapi saya akan bersedia untuk aksi seterusnya di kemudian hari,” ujar Kawin kepada portal tempatan, The Nation.
Kawin terlepas aksi Piala AFF selepas Milovan Rajevac memilih untuk meminggirkan nama-nama besar untuk memberi peluang kepada pemain-pemain yang beraksi di liga tempatan.
Gajah Perang akhirnya tumbang di peringkat separuh akhir kepada Malaysia berdasarkan kelebihan gol di tempat lawan selepas kedua-dua pasukan terikat 2-2 di Stadium Rajamangala, Bangkok.
Di Kuala Lumpur, 4 hari sebelum itu, kedua-dua pasukan juga terikat dengan keputusan seri, tanpa jaringan.
Walaupun gagal ke pentas final, Thailand telah merekodkan keputusan yang baik apabila tidak pernah tewas dalam 6 perlawanan sepanjang Piala AFF dengan meraih 3 kemenangan.
Kem latihan Thailand dilihat kembali diperkuatkan oleh kapten, Teerasil Dangda dan pemain yang baharu sahaja memenangi Anugerah J-League Best Eleven, Chanathip Songkrasin.
Turut kembali berada di kem latihan akhir tersebut adalah penolong ketua pasukan yang kini beraksi di J-League 1 bersama kelab Vissel Kobe, Teerathon Bunmathan.
Untuk saingan Piala Asia, Thailand diletakkan dalam Kumpulan A bersama India, Bahrain dan UAE. Thailand akan membuka tirai kejohanan pada 6 Januari menentang India di Abu Dhabi.