Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) menjelaskan perancangan untuk menganjurkan Pestabola Merdeka pada bulan Mac tahun depan adalah mengikut kalendar Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA).
Setiausaha agung FAM, Stuart Ramalingam berkata kepada Berita Harian, penyusunan jadual pertandingan mengikut kalendar FIFA tersebut supaya pasukan Liga Malaysia dapat melepaskan pemain mereka ke skuad kebangsaan.
“Kami merancang untuk melangsungkannya pada Mac kerana ketika itu (18-26 Mac) adalah kalendar Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA), mungkin itu waktu terbaik untuk memanggil pemain kerana mereka ada tanggungjawab bersama pasukan masing-masing pada bulan Januari,” katanya.
Kalendar pertandingan Liga Malaysia yang dikeluarkan oleh Malaysia Football League (MFL) menyatakan saingan Pestabola Merdeka akan bermula dari 26 hingga 31 Januari ini. Namun, Stuart menjelaskan ia adalah cadangan awal antara pihaknya dengan MFL iaitu kira-kira sebulan lalu iaitu sebelum aksi Piala AFF 2018.
“Ya, MFL selari dengan kami dan kami sudah membincangkan mengenai kalendar pertandingan sejak enam bulan lalu namun perbincangan terakhir berlangsung bulan lalu.
“Pestabola Merdeka sememangnya ada dalam perancangan kami dan keputusan hanya dibuat selepas melihat perkembangan skuad negara dalam Piala AFF 2018. Apapun, tiada makluman rasmi mengenai perkara ini.
“Pada awalnya, pertandingan itu akan diadakan pada Januari namun dengan Piala AFF 2018, menghimpunkan pemain negara selama lebih 50 hari dan mengadakan pertandingan pada bulan Januari mungkin agak sukar,” jelasnya.
Pestabola Merdeka merupakan sebuah kejohanan bola sepak tahunan yang diadakan dengan tujuan untuk meraikan ulang tahun kemerdekaan Malaysia. Kejohanan ini telah bermula sejak tahun 1957 dan merupakan kejohanan bola sepak jemputan yang tertua di Asia.
Semasa 1950-an dan awal 1980-an, ia merupakan satu kejohanan berprestij di kalangan negara-negara Asia kerana para peserta menghantar pemain skuad utama mereka. Namun selepas tahun 1980-an, ianya kekurangan minat kerana banyak negara Asia lebih memberi tumpuan kepada fasa kelayakan dalam Piala Asia.
Malaysia memenangi pertandingan itu sebanyak lapan kali selain bergelar naib juara dalam lapan edisi sementara Korea Selatan menjadi pasukan kedua terbaik dengan lima gelaran.