Dua minggu sebelum berlangsungnya Kejohanan Piala Asia 2019, Filipina dilanda musibah apabila bakal berdepan masalah dalam menentukan penjaga gawang utama.
Filipina yang bakal membuat penampilan sulung dalam kejohanan tersebut akan kehilangan khidmat tiga penjaga gol yang telah beraksi di Piala AFF Suzuki, baru-baru ini.
Penjaga gol Cardiff City, Neil Etheridge dijangka hanya akan membuat satu penampilan sahaja di Piala Asia kerana komitmen bersama kelab Liga Perdana Inggeris tersebut.
Disamping itu, dua lagi penjaga gawang yang turut beraksi di Piala AFF tempohari juga akan tersisih kerana mengalami kecederaan iaitu Michael Falkesgaard dan Patrick Deyto.
Presiden Persekutuan Bolasepak Filipina (PFF), Mariano Araneta mendedahkan perkara ini kepada Radyo Pilipinas 2 yang penjaga gawang berusia 28 tahun itu hanya akan beraksi bersama pasukan ketika menentang Korea Selatan pada 7 Januari.
“Kami sedia maklum betapa pentingnya Neil buat Cardiff. Jadi dia hanya akan bermain untuk Azkals dalam perlawanan pertama Piala Asia 2019 dan kemudian akan kembali untuk bersama Cardiff,” ujarnya kepada sebuah rancangan radio berkenaan.
Namun, melihatkan jadual Cardiff City, seperti agak mustahil untuk dia akan dilepaskan untuk perlawanan menentang Korea Selatan yang dijadualkan pada 7 Januari.
Cardiff City akan menentang Tottenham Hotspur untuk aksi liga pada 1 Januari sebelum berdepan Gillingham dalam saingan Piala FA pada 5 Januari. Pada 12 Januari, The Bluebirds akan berdepan Huddersfield Town untuk aksi liga.
Falkesgaard yang mengambil alih peranan Neil selepas perlawanan pertama Piala AFF pula mengalami masalah kecederaan ketika saingan memasuki peringkat separuh akhir kedua memaksa Patrick Deyto untuk turun menggantikan tempatnya.
Selepas berakhirnya kempen The Azkals dalam Piala AFF, Deyto pula terpaksa menjalani pembedahan khas untuk memulihkan kecederaan di bahagian tangannya. Melalui kemaskini di laman Instagramnya, Deyto mengumumkan status terkininya.
Kini, Filipina hanya terdapat beberapa pilihan terakhir untuk posisi tersebut sekiranya Falkesgaard yang beraksi bersama Bangkok United belum sempat pulih daripada kecederaannya antaranya Nick O’Donnell, Nathanael Villanueva dan Louie Casas.