Pengurus Burnley, Sean Dyche jelas risau dengan gejala yang melibatkan para pemain yang gemar merebahkan badan dengan sengaja atau diving yang semakin berleluasa ketika ini.
Pada beliau, gejala ini akan memberikan kesan yang berpanjangan kepada bola sepak.
Menurut beliau, ianya bukan sahaja bakal memberikan kesan negatif kepada bola sepak di tahap yang tertinggi malah akan turut merebak ke peringkat rendah seperti kanak-kanak.
Menurut Dyche, Piala Dunia 2018 di Rusia menjadi contoh terbaik di mana begitu ramai pemain yang melakukan simulasi ketika perlawanan.
“Saya tidak tujukan kepada individu tertentu, tetapi isu yang saya bangkitkan adalah melibatkan bola sepak secara keseluruhan.”
“Siapa yang tonton Piala Dunia 2018 tempoh hari? Apa pendapat anda mengenainya?”
“Ia merupakan satu kejohanan Piala Dunia yang begitu teruk kerana kita dapat saksikan begitu banyak aksi simulasi dilakukan, pemain melakukan kecederaan palsu dan sebagainya.”
Dyche yang juga seorang bapa, berasa bimbang sekiranya perkara ini berterusan.
Kerana pada hemat beliau, gejala melakukan simulasi ini sudah mula menjadi ikutan kanak-kanak dan ianya ditonjolkan dalam perlawanan peringkat tersebut kini.
“Saya seorang bapa dan saya ada anak yang juga main bola sepak.”
“Saya saksikan pemain bola sepak kanak-kanak sudah mula meniru lagak pemain profesional yang melakukan simulasi dalam perlawanan. Ini tidak betul.”
Burnley kendalian Dyche kini ditangga ke-18 Premier League dengan 12 mata.