Pahang Mahu Daftar Sumareh Sebagai Pemain Tempatan Tanpa Menunggu Bulan Mac

Skuad tok gajah kemungkinan akan terus mendaftar pemain kelahiran Gambia, Mohamadou Sumareh sebagai pemain tempatan bagi saingan Liga Malaysia (Liga-M) musim depan tanpa perlu menunggu jendela perpindahan kedua dibuka.

Pada Oktober lepas, Malaysia Football League (MFL) mengumumkan Pahang boleh mendaftar Sumareh sebagai pemain tempatan bermula pada bulan Mac 2019.

Ia bermakna Sumareh tetap dianggap sebagai pemain import pada jendela perpindahan pertama walaupun sudah beraksi dengan skuad kebangsaan dalam saingan Piala AFF minggu lalu.

Aksi Sumareh ketika mewakili negara menentang Vietnam di Stadium Nasional Bukit Jalil. FOTO: FAM

Pengurus skuad Tok Gajah, Datuk Mohammed Suffian Awang berkata dalam Berita Harian, surat rayuan sudah dihantar oleh Persatuan Bolasepak Negeri Pahang (PBNP) kepada MFL minggu lalu untuk membenarkan Sumareh terus didaftar sebagai pemain tempatan.

“Oleh itu, kami harap MFL mempertimbangkan Sumareh yang juga pemain naturalisasi didaftarkan sebagai pemain tempatan.

“Sudah pasti peminat bola sepak khususnya Pahang mahu melihat Sumareh beraksi sebagai pemain tempatan selepas membantu skuad kebangsaan muncul naib juara Piala AFF.

“Sememangnya kami mengharapkan keputusan positif daripada MFL terutama bagi urusan pendaftaran pemain import baharu dalam usaha memperkasakan skuad Tok Gajah,” katanya.

Sumareh wajar diberi kelonggaran untuk didaftar sebagai pemain tempatan selepas memberi sumbangan kepada negara

Sumareh mendapat kerakyatan Malaysia secara sah selepas telah bermastautin di Malaysia sejak berumur 12 tahun. Malah, beliau telah dibesarkan di sini dan mendapat pendidikan awal di sekolah antarabangsa di Kuala Lumpur.

Mohamadou Sumareh. FOTO: FAM

Beliau mendapat panggilan pertama untuk menyertai kem latihan pusat skuad kebangsaan ketika tugasan menentang Sri Lanka di Colombo dan Kyrgyzstan di Stadium Hang Jebat pada 8 Oktober dan 12 Oktober 2018.

Sumareh melakukan debut menentang Sri Lanka dalam perlawanan persahabatan dan beliau menjaringkan gol antarabangsa pertama beliau untuk Malaysia dalam perlawanan itu.

Lebih manis lagi, pemain yang digelar sebagai ‘Keli boy’ itu mendapat pujian daripada rakyat Malaysia selepas mempamerkan aksi cemerlang dalam saingan Piala AFF Suzuki baru-baru ini dan membantu Malaysia mara ke final.

Berdasarkan sumbangan besarnya membantu Malaysia mara ke final, adalah wajar pihak MFL memberi kelonggaran kepada beliau untuk didaftarkan terus sebagai pemain tempatan tanpa perlu menunggu tempoh pendaftaran yang ditetapkan.

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN