Jaringan tunggal pemain gantian, Eden Hazard sudah cukup untuk membawa Chelsea ke aksi separuh akhir Piala Carabao 2018/19 selepas berjaya menundukkan Bournemouth 1-0 di Stamford Bridge, awal pagi tadi.
Chelsea mendominasi hampir keseluruhan permainan, bagaimanapun mereka dikecewakan dengan penyudah kurang berkesan.
Penjaga gol pelawat, Artur Boruc turut beraksi cemerlang selepas menafikan banyak percubaan dilancarkan anak buah Maurizio Sarri.
Peluang dimiliki pada awal babak kedua oleh Ruben Loftus-Cheek menerusi rembatan dari luar kawasan penalti juga hampa setelah percubaannya sekadar terkena tiang gol.
Bournemouth yang sesekali mengancam kubu Chelsea juga masih tidak mampu untuk menjelmakan jaringan diharapkan.
Bermula daripada gerakan Hazard yang mencari Pedro dalam kawasan penalti, pemain antarabangsa Belgium itu pantas menggunakan kesempatan untuk merembat bola yang pada mulanya terkena pertahanan Bournemouth lalu mencecah gawang untuk memecah kebuntuan perlawanan.
Gol tunggal yang terhasil pada minit ke-84 itu kekal hingga tamat permainan bagi membawa Chelsea ke saingan empat pasukan terbaik memburu tiket final.