Zinedine Zidane harus mempertimbangkan untuk meneruskan karier kejurulatihan beliau di Liga Perdana Inggeris (EPL), ujar Arsene Wenger.
Bekas pemain tengah Perancis itu kini tanpa sebarang kelab sejak meninggalkan Real Madrid pada musim panas lalu – setelah membawa tiga kejuaraan UEFA Champions League (UCL) secara berturut-turut untuk Los Blancos.
England berikan cabaran
Sejak daripada itu, Zidane telah dikaitkan dengan banyak kelab – termasuk akan menggantikan Jose Mourinho di Manchester United,
Walaupun ejen kepada bekas kapten Piala Dunia Perancis itu berkata Zidane tidak berminat dengan karier di England buat masa ini, Wenger berpendapat sebaliknya.
Malah bekas pengurus Arsenal itu berpendapat England boleh menawarkan cabaran yang diperlukan oleh Zidane untuk menjadi seorang pengurus yang dihormati.
“Jika anda mahu bekerja sebagai jurulatih sehingga ke peringkat tertinggi, maka anda harus ke England,” ujar Wenger kepada beIN Sports.
“England adalah satu-satunya negara di mana enam kelab akan berebut kejuaraan liga, Di negara lain, anda boleh katakan juara akan ditentukan pada Disember.
Situasi Zidane
“Situasi Zidane agak sukar kerana sebelum ini beliau melatih kelab terbesar dunia. Jadi ini bermakna beliau hanya boleh menyertai kelab kedua terbesar.
“Tetapi pilihannya ialah sama ada beliau menyertai sebuah kelab untuk projek jangka masa panjang, atau untuk membantu kelab tersebut muncul juara di Champions League.”
Wenger sendiri tidak mengurus mana-mana pasukan sejak meninggalkan Arsenal pada musim panas lalu – setelah 22 tahun bergelar pengurus The Gunners.
Pengurus dari Perancis itu menjuarai tiga gelaran EPL dan 7 Piala FA sepanjang bersama kelab London tersebut.