Sebelum Premier League musim 2015/2016 bermula, agensi perjudian langsung tidak menaruh walau sekelumit harapan kepada Leicester City untuk menjuarai liga.
Buktinya mereka memberi memberi peluang 5,000-1 kepada mana-mana pelanggan mereka yang bertaruh bahawa Leicester City bakal menjuarai liga.
Mereka pasti menyesali tindakan tersebut hari ini selepas Tottenham Hotspurs hanya mampu seri 2-2 menentang Chelsea – sekaligus menabalkan Leicester City sebagai juara.
Apa maksud peluang 5,000-1?
Apabila agensi perjudian memberi peluang 5,000-1 kepada anda, ia bermakna anda akan mendapat £5,000 bagi setiap £1 yang anda taruhkan.
Contohnya jika anda bertaruh £2 dan menang, agensi perjudian akan membayar £10,000 kepada anda dan memulangkan £2 yang anda taruhkan. Jadi secara keseluruhannya anda menang £10,002.
Jika anda bertaruh £3 dan menang, anda akan membawa pulang £15,003.
Jika anda kalah pertaruhan ini, anda akan hilang wang pertaruhan anda kepada agensi perjudian tersebut.
Mengapa agensi perjudian rugi besar bila Leicester menjadi juara liga?
Apabila agensi perjudian memberi anda peluang 5,000-1 kepada pertaruhan anda, ia bermaksud mereka percaya pertaruhan anda mempunyai peluang yang sangat-sangat kecil untuk menjadi realiti.
Untuk memberi perspektif kepada anda betapa yakinnya agensi perjudian bahawa Leicester takkan menjadi juara Premier League sehingga diberikan peluang 5,000-1, kami senaraikan 7 pertaruhan yang diberikan peluang 5,000-1:
- David Moyes menjadi juri rancangan X-Factor (2,500-1)
- Arsenal memecat Arsene Wenger dan melantik Piers Morgan sebagai pengurus pasukan (2,500-1)
- Perdana Menteri Britain, David Cameron menjadi pengurus Aston Villa (2,500-1)
- Elvis Presley masih hidup (5,000-1)
- Kim Kardashian menjadi Presiden Amerika Syarikat (5,000-1)
- San Marino menjadi juara Piala Dunia (1,000-1)
- Loch Ness Monster wujud (5,000-1)
Jadi anda boleh bayangkan betapa ruginya agensi perjudian apabila perkara-perkara ‘mustahil’ seperti di atas menjadi kenyataan.
Rugi lebih RM40 juta sehari
Salah satu agensi perjudian yang rugi besar pada hari sama Leicester menjadi juara Premier League adalah Sky Bet.
The Guardian melaporkan Sky Bet terpaksa membayar £4.6 juta kepada 128 pelanggannya yang bertaruh Leicester City bakal menjadi juara Premier League.
Agensi perjudian William Hill pula melaporkan kerugian £2.2 juta pada hari Leicester City sah menjadi juara Premier League.
Menurut mereka, penaruh paling besar dalam pertaruhan ini meletak £20 (bakal menerima £100,000) manakala yang paling kecil adalah 50 pence (bakal menerima £2,500).
Agensi perjudian Ladrokes pula tidak akan menawarkan peluang pertaruhan pada 5,000-1 lagi selepas terpaksa membayar jutaan pound kepada beratus-ratus penyokong Leicester yang meletakkan wang pertaruhan antara £20 hingga £10.
Burnley menjadi juara liga? 5,000-1
Agensi-agensi perjudian yang rugi besar hari ini mengaku mereka tersilap langkah dengan meletak peluang 5,000-1 kepada Leicester City untuk menjadi juara liga.
“Apa yang pasti, pada musim depan Leicester takkan mendapat peluang 5,000-1 lagi,” menurut jurucakap agensi perjudian Sky Bet.
Agensi perjudian William Hill meletakkan peluang 25-1 pula kepada Leicester City untuk menjuarai Premier League lagi apda musim depan dan peluang 16-1 untuk tersingkir dari liga.
Agensi perjudian Betfret pula telah meletakkan peluang 5,000-1 kepada Burnley untuk menjadi juara Premier League pada musim depan.
Ketika ditanya apakah mereka tak takut insiden sama bakal berulang, Betfret menjawab:
“Ramai orang kata kami gila tapi kami sangat yakin kejayaan mengejutkan Leicester ini takkan berlaku lagi.”
Peringatan: Berjudi adalah haram hukumnya bagi orang Islam berdasarkan firman Allah dalam Surah Al-Baqarah (ayat 219) dan Surah Al-Maidah (ayat 90 dan 91).
Ia bukan sahaja boleh menjejaskan kemampuan kewangan seseorang individu, tetapi juga boleh menjejaskan kehidupan ahli keluarga tanggungannya.
Baca juga: Penyerang Watford, Troy Deeney Beritahu 5 Sebab Mengapa Leicester Sukar Ditewaskan