Setelah 4 tahun terlibat dalam saingan Liga Malaysia, penyerang skuad bawah 23 tahun kebangsaan, N. Thanabalan mahu menjadikan musim 2019 sebagai zaman kegemilangannya dengan meraih trofi dalam saingan domestik.
Beliau yang membantu skuad B-23 negara memunggut pingat perak sukan SEA dan mara ke suku akhir Kejohanan AFC B-23 mahu meneruskan kecemerlangan itu meraih satu piala dengan skuad helang merah.
Bercakap kepada Berita Harian, Kedah merupakan destinasi pertama penghijrahannya setelah 4 tahun bersama Negeri Sembilan dan Thanabalan mengakui tidak sabar membuat penampilan pertama dengan skuad kendalian Aidil Sharin Sahak itu.
“Saya juga teruja apabila apabila nama saya sah diumumkan bersama Kedah dan saya idam dapat menjulang satu piala bersama skuad Helang Merah ini musim depan.”
“Apa yang saya harapkan untuk musim depan adalah kebangkitan buat saya lebih-lebih lagi dengan semangat baharu di Kedah dan sokongan semua pihak termasuk Persatuan Bolasepak Kedah (KFA) yang telah memberi kepercayaan kepada saya termasuk juga penyokong Kedah.”
“Saya juga sedar 2018 bukan tahun untuk saya dan impian serta sasaran saya seterusnya juga mahu kembali bersama skuad kebangsaan pada musim depan.” katanya.
Baddrol Bakhtiar merupakan idola Thanabalan.
Pemain yang berusia 23 tahun itu menjadikan kapten Kedah, Badrol Bakhtiar sebagai idolanya dan gembira dapat peluang beraksi bersamanya musim depan.
Thanabalan menganggap pengalaman yang ada pada Baddrol Bakhtiar sebagai pemain senior dapat memberi panduan yang lebih baik buat pemain muda seperti dirinya.
Selain Thanabalan, Kedah turut berjaya menandatangani seorang lagi bekas bintang Harimau Muda, Syahrul Azwari Ibrahim yang pernah membantu skuad negara meraih pingat emas Sukan SEA 2011. Azwari musim ini beraksi untuk pasukan Melaka United.