Real Madrid kembali mencatatkan kemenangan dalam saingan La Liga apabila berjaya menundukkan Valencia 2-0 pada perlawanan yang berlangsung di Santiago Bernabeu.
Kemenangan diraih itu juga segera melupakan kedukaan dialami skuad Los Blancos yang tewas 3-0 ketika bertemu Eibar pada minggu lalu.
Tuan rumah yang turut segar dengan kemenangan dalam aksi Liga Juara-Juara Eropah pertengahan minggu lalu memulakan aksi dengan garang dan harapan disandarkan kepada Karim Benzema.
Segalanya berada di landasan yang tepat setelah pertahanan Valencia, Daniel Wass tertanduk bola ke gawang sendiri pada minit ke-8 dalam usaha beliau untuk menghalang hantaran lintang yang daripada Dani Carvajal.
Gareth Bale kemudiannya hampir menjadikan kedudukan 2-0 namun rembatannya dalam kawasan penalti berjaya ditepis dengan cemerlang penjaga gol Valencia, Norberto Neto.
Memasuki babak kedua, Valenci cuba untuk mendapatkan jaringan penyamaan tetapi usaha mereka masih belum cukup bagi mendapatkan hasil yang diharapkan.
Real Madrid sebaliknya menggandakan kedudukan ketika aksi berbaki tujuh minit sahaja untuk ditamatkan menerusi Lucas Vasquez tidak mensia-siakan peluang setelah menerima umpanan daripada Benzema bagi gol kedua perlawanan.
Pasukan yang dibimbing Santiago Solari itu kini menduduki tangga kelima selepas mengumpul 23 mata hasil tujuh kemenangan, dua keputusan seri serta lima kekalahan dalam 14 perlawanan liga.
Valenci pula menghuni tangga ke-13 selepas mencatatkan 17 mata.