Manchester United akhirnya tiada pilihan dan terpaksa mengaktifkan klausa yang terkandung di dalam kontrak penjaga gol, David de Gea supaya penjaga gol tersebut kekal setahun lagi di Old Trafford.
Pengaktifan klausa tersebut bermakna penjaga gol antarabangsa Sepanyol itu akan kekal di Old Trafford sehingga 2020 – setelah kontrak asal pemain tersebut bakal tamat pada penghujung musim ini.
Kontrak beri kelebihan kepada United
De Gea telah menandatangani kontrak untuk kekal di Old Trafford pada September 2015 – beberapa hari selepas rancangan perpindahan ke Madrid gagal menjelang tarikh tutup perpindahan musim tersebut.
Sebagaimana polisi kelab sebelum ini, United telah memasukkan satu klausa yang membenarkan mereka mengekal seseorang pemain untuk tempoh semusim lagi – di dalam kes David de Gea ialah sehingga pengujung musim 2019/20.
Perbincangan di antara kem De Gea dan Manchester United telah berlarutan sejak beberapa bulan yang lalu, dan sehingga kini perbincangan masih gagal menemui jalan penyelesaian terbaik yang menguntungkan kedua-dua pihak.
Perkara itu mendorong United untuk mengaktifkan klausa tersebut, sekaligus menghalang De Gea daripada berbincang dengan kelab-kelab lain yang berminat untuk mendapatkan khidmat beliau mulai Januari ini.
Mahu kekal dengan syarat
David de Gea dikatakan terbuka dengan idea untuk kekal di Old Trafford – tetapi penjaga gol antarabangsa Sepanyol itu mempunyai terma dan syarat beliau tersendiri untuk berbuat demikian.
Menurut satu laporan oleh Goal sebelum ini, David De Gea menuntut kontrak jangka panjang selama lima tahun dan juga bayaran gaji yang setara diterima oleh Alexis Sanchez bernilai £350,000 seminggu
Tatkala United dilihat tidak mempunyai masalah dengan tempoh kontrak yang dikehendaki oleh penjaga gol itu, jumlah tuntutan gaji tersebut dilihat agak tinggi – apatah lagi laporan kewangan kelab sebelum ini merekodkan peningkatan 10% bayaran khusus untuk gaji pemain.
Pengaktifan klausa berkenaan juga dilakukan dengan harapan rundingan bersama De Gea boleh diteruskan selama ini untuk kontrak jangka masa panjang melangkaui 2020.