Pemain Thailand, Charyl Chappuis memberitahu bahawa dirinya tidak terkejut dengan prestasi cemerlang yang telah dipamerkan penyerang Thailand Adisak Kraisorn dalam kejohanan Piala AFF Suzuki 2018.
Bagi Chappuis, beliau mengakui kemampuan Adisak sebagai penyerang Thailand yang hebat dan keputusan cemerlang di kejohanan itu memang berhak untuk beliau raih.
Adisak kini mendahului senarai penjaring terbanyak kejohanan dengan mengumpul 8 gol.
Penyerang Muangthong United ini memulakan kempen saingan dengan penuh bergaya apabila meledak enam gol bertemu Timor-Leste.
Kemudian, Adisak sekali lagi mencatat nama sebagai penjaring dengan membantu Thailand menjaringkan satu gol masing-masing pada pertemuan menentang Indonesia dan Singapura.
Tidak terkejut
Menerusi kenyataan Fox Sport Asia pada 23 November lalu, Chappuis dipetik sebagai berkata; beliau mengakui kehebatan dan kemampuan luar biasa yang dimiliki Adisak yang tidak dimiliki penyerang-penyerang lain.
Beliau juga kagum melihat pemain itu berjaya bangkit untuk memperbaiki prestasi selepas mengalami kecederaan yang serius dalam beberapa tahun terakhir ini.
“Saya tidak terkejut dengan prestasi Adisak. Saya bermain dengannya selama bertahun-tahun. Dia mempunyai banyak kualiti.”
“Dan saya sangat gembira kerana dia, tidak cedera pada tahun ini, kembali selepas berdepan masalah kecederaan sehingga tidak dapat beraksi pada AFF Suzuki 2016.”
“Dia benar-benar bekerja keras dan saya gembira baginya. Dia patut mendapatkan segalanya,” kata Chappius.
Tetap memberi sokongan
Chappuis, bintang Thailand yang membantu pasukan itu pada kejohanan AFF 2014 dan 2016 terpaksa diketepikan dari skuad selepas mengalami kecederaan dibahagian pergelangan kaki semasa mewakili Muangthong United dalam saingan Liga Thailand.
Bagaimanapun, Chappius tetap memberi sokongan penuh kepada skuad Milovan Rajevac dan berharap pasukan mampu mencipta kejuaraan buat kali ketiga berturut-turut dalam kejohanan tersebut.
“Sudah pasti, saya mengikuti Changsuek (Thailand). Walaupun saya tidak mengikuti keseluruhan perlawanan tepat pada waktunya.”
“Namun, saya masih mengikuti perkembangan aksi mereka di Twitter, begitu juga ketika siaran ulangan perlawanan,” tambah Chappuis.