Jamal, Budak Syria Yang Dibuli Di Huddersfield, Dapat Undangan VIP Dari 2 Pemain Huddersfield

Disebuah padang sekolah di utara England, sekumpulan pelajar lelaki yang suka membuli mengekori pantas sasaran mereka.

“Hey Jamal, mari sini!” jerit seorang pelajar yang memakai baju sejuk biru yang, menurut media sosial, dikenali dengan nama Bailey McLaren.

Hanya beberapa kaki di hadapan kumpulan pembuli tersebut, Jamal tidak menyahut. Terus berjalan, kelihatan seperti cuba melindungi tangannya yang bersimen kerana patah – lantaran dibelasah kumpulan pembuli sama di Sekolah Komuniti Almondbury, Huddersfield. Menurut laporan polis, Jamal dan kakaknya telah dibuli berkali-kali sejak tiba di wilayah Yorkshire barat pada 2016, untuk melarikan diri bersama keluarga mereka dari konflik peperangan Syria.

Jamal dan kakaknya mungkin dapat lari dari kekacauan di negara kelahirannya. Tetapi di England – rumah barunya – beliau tidak dapat lari dari pembulinya.

“Apa kau nak cakap sekarang?” Bailey memulakan konfrontasi.

Jamal masih membisu. Langkah beliau terhenti. Tetapu badannya cuba mengelak Bailey.

“Apa kau nak cakap sekarang?” Bailey mengulangi soalannya lagi. Belum sempat Jamal berfikir apa-apa, Bailey sudahpun menghantukkan kepalanya ke kepala Jamal sebelum mencekik bekas pelarian Syria yang jauh lebih kecil, lebih muda dan lebih lemah daripadanya.

Jamal terbaring tanpa melawan di atas padang sekolahnya. Bailey masih mengulangi soalannya berkali-kali. Tetapi kali ini dengan nada lebih agresif. Tangan kirinya mencapai botol air lalu dicurahkan isi botol tersebut ke muka Jamal – persis rutin seksaan waterboarding.

“Aku lemaskan kau juga nanti, anak haram!” jerit Bailey sambil disaksikan oleh belasan pelajar lain, termasuk seorang rakannya yang merekodkan aksi buli beliau dengan telefon pintar. Bailey kemudiannya melepaskan Jamal. Seolah-olah berpuas hati dan megah dengan dominasinya terhadap Jamal.

Jamal berlalu pergi tanpa berkata apa-apa. Kejadian yang berlaku pada 25 Oktober ini langsung tidak dilaporkan oleh Jamal kepada sesiapa. Tetapi Tuhan itu Maha Adil. Keadilan sentiasa berpihak kepada kebenaran.

2 hari lepas, video insiden Jamal dibuli ini tertular di media sosial. Polis Wilayah Yorkshire Barat membuka kes dan mendefinisikan serangan Bailey kepada Jamal ini sebagai ‘serangan bersifat perkauman’. Dan semalam, polis mengumumkan mereka telah memberkas Bailey.

Untuk Jamal pula, hidupnya berubah – ke arah yang lebih baik.

Ahli politik, selebriti dan orang awam bersatu mengutuk sekeras-kerasnya tindakan Bailey ke atas Jamal. Ahli Parlimen Huddersfield, Barry Sheerman menulis di Twitter: “Video serangan terhadap ahli kawasan saya sangat mengejutkan. Saya difahamkan sekolah telah mengambil tindakan keras. Saya akan mengikuti perkembangan kes ini untuk memastikan segala sokongan diberikan kepada mangsa.”

Penyampai BBC, Jake Humphrey pula menulis: “Daripada kita marah-marah kepada si pembuli, apa kata kita tunjukkan kasih sayang kita kepada Jamal untuk menunjukkan beliau tinggal di negara yang saling menghormati, bertoleransi dan positif.”

Humphrey turut menawarkan Jamal tajaan untuk melawat kelab bola sepak kegemaran beliau.

Terkesan dengan tindakan positif Humphrey, 2 pemain kelab Huddersfield yang bermain di Premier League, Jonas Lossl dan Ramadan Sobhi turut tampil ke hadapan melakukan perkara sama.

https://twitter.com/JonasLoessl/status/1067689917302669312

Tidak cukup dengan itu, lebih 7,000 orang berpusu-pusu membantu Jamal dan keluarganya dengan menderma di laman sesawang GoFundMe. Kempen membantu Jamal di laman sesawang itu dimulakan oelh Mohammed Tahir, jiran keluarga Jamal.

Menurut Tahir: “Jamal telah berbulan-bulan menjadi mangsa buli bersama adik perempuannya. Sehinggakan adik perempuannya pernah memecahkan kanta cermin matanya sendiri untuk cuba mengerat urat pergelangan tangannya di tandas sekolah.”

“Selepas terpaksa meninggalkan rumah yang dilanda peperangan, biarlah mereka dapat hidup tenang tanpa dibuli,” tulis Tahir di GoFundMe. “Sila derma seikhlas mungkin dan mari kita ubah situasi buruk ini kepada satu rahmat.”

Tulisan Tahir itu sangat membantu. Ketika artikel ini sedang ditulis, kempen derma untuk keluarga Jamal sudah mengumpul £118,051 (RM635,208) dalam masa 24 jam.

Petikan gambar kempen derma untuk keluarga Jamal sudah mengumpul lebih dari £100,000 dalam masa 24 jam. (Sumber: GoFundMe)

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN