Walaupun Garuda sudah sah tersingkir daripada Piala AFF 2018, namun ia tidak mematahkan semangat lebih 15,000 penyokong Indonesia hadir ke Stadium Utama Gelora Bung Karno di Senayan.
Mereka masih bersemangat seperti biasa dengan menaikkan kain rentang; ‘Kobarkan Semangat Garuda: Menang Kusanjung Kalah Kudukung’. Mereka tetap mencatatkan meter desibel tertinggi semalam, bukti penyokong Indonesia masih bersemangat menyokong timnas mereka.
Indonesia mengakhiri kempen peringkat kumpulan dengan keputusan seri 0-0 dengan skuad bimbingan Sven Goran Eriksson iaitu Filipina. Indonesia menamatkan saingan hanya dengan 4 mata, berada di tangga ke-4 kumpulan B.
Walaupun begitu, ribuan penyokong Indonesia di dalam stadium mendesak agar Ketua Umum Persatuan Sepakbola Seluruh Indonesia (PSSI), Edy Rahmayadi agar meletakkan jawatan beliau. Ada yang menaikkan banner dan juga ‘placard’ yang meminta agar Edy nyah dengan segera daripada PSSI.
Di media sosial pula para penyokong Indonesia rancak mendukung kempen #EdyOut.
Selepas tamat perlawanan penyokong meneruskan bantahan mereka di luar stadium. Mereka jelas kecewa dengan reputasi PSSI dan juga prestasi Timnas Indonesia terutama sekali dalam kempen Piala AFF 2018.
Lebih perit beberapa hari lalu PSSI didenda kerana kesalahan mudah berkaitan dengan baju latihan. Sebelum itu PSSI meminta maaf kerana tidak menampal patch Piala AFF Suzuki di jersi mereka.
Kelompok penyokong yang menggelarkan diri mereka La Grande melakukan tunjuk perasaan di hadapan pintu aksi di pintu selatan Stadium Utama Gelora Bung Karno. Ini kerana mereka dilarang melakukan protes dengan kain rentang besar itu di dalam stadium.
Kain rentang itu bertulis: “Federasi Baik=Timnas Baik”
Ianya sindiran kepada Ketua Umum PSSI itu, selepas Edy Rahmayadi sebelum ini menyatakan bahawa, jika wartawan baik (menyampaikan berita), maka prestasi Timnas pun akan baik.
"If Indonesia media/press is good, their national team will be good as well."
Do you agree with @PSSI Chairman Edy Rahmayadi's reason for 🇮🇩 AFF Suzuki Cup 2018 failure? https://t.co/1CDExMod7J
— ESPN Asia (@ESPNAsia) November 23, 2018
Beliau menuding jari ke arah wartawan sukan di Indonesia yang dianggapnya terlalu ofensif ke atas beliau dan ada yang berniat jahat sengaja nak memburuk-burukan PSSI.
Penyokong Indonesia pula berpendapat, kegagalan pasukan kebangsaan adalah kerana PSSI bukannya kerana wartawan.
Protes di luar stadium itu menyaksikan para penyokong menyanyikan lagu yang meminta agar Edy angkat kaki dengan segera selepas kegagagalan pasukan Indonesia dalam kempen kali ini.
Bagi mereka kegagalan pasukan Indonesia adalah kerana PSSI ditadbir dengan tidak betul. Salah seorang penyokong mereka bercakap kepada Detik Sport berkata:
“Saya berharap PSSI dapat memperbaiki kerosakan ini. Hal ini kerana sebelum ni bukankah PSSI telah mengambil keputusan drastik menamatkan kontrak Luis Milla. Itu yang ingin kami sampaikan.”