Pertahanan Manchester City, Aymeric Laporte kini merupakan pilihan utama pengendali pasukan, Josep ‘Pep’ Guardiola bagi mengepalai jentera pertahanan The Cityzens.
Ia dibuktikan apabila pemain berusia 24 tahun itu diturunkan sepenuh masa oleh Pep bagi kesemua perlawanan Manchester City dalam saingan Liga Perdana Inggeris dan Liga Juara-Juara Eropah setakat ini.
Dibawa masuk ke Etihad Stadium pada Januari lalu dari Athletic Bilbao dengan nilai $73 juta, Laporte mengimpikan untuk menjadi pemain pertahanan terbaik di Eropah.
Dalam pada itu beliau turut melabelkan serta memuji Sergio Ramos sebagai pertahanan terbaik dunia.
”Adakah saya mahu menjadi pertahanan terbaik di Eropah? Sudah tentu. Mana-mana pemain pertahanan akan memberitahu anda perkara yang sama. Siapa yang tidak mahu menjadi yang terbaik?”
”Sergio Ramos mungkin pemain pertahanan terbaik di dunia ketika ini, seperti mana kita tahu bahawa saya perlu menyamai kualiti yang dimilikinya atau menjadi lebih baik dari beliau untuk menjadi sebaik seperti dirinya.”
Disebalik kekentalan ketika bertahan yang dipamerkan, sisi gelap dalam karier Sergio Ramos turut menjadi perhatian, terutamanya insiden yang melibatkan kapten Real Madrid itu dengan Mohamed Salah pada perlawanan akhir Liga Juara-Juara Eropah musim lalu.
”Untuk berada di puncak (sebagai pertahanan terbaik di dunia), anda mesti mempunyai kelebihan dalam permainan anda, seperti apa yang dilakukan (Sergio) Ramos,” ujar Laporte lagi.
Aymeric Laporte yang beraksi dalam kesemua 16 perlawanan melibatkan saingan Liga Perdana Inggeris dan Liga Juara-Juara Eropah memainkan peranan penting dalam membantu barisan pertahanan Manchester City selepas skuad tersebut hanya dibolosi lapan jaringan.