Jan Oblak – satu nama yang tidak perlu diperkenalkan lagi dalam kancah bola sepak dunia. Beliau kini dilabel sebagai antara penjaga gol terbaik dunia.
Menyebut tentang Oblak – penulis tiba-tiba teringat kepada Hafizul Hakim Khairul Nizam Jothy yang mengakui bahawa gaya beliau yang mencetuskan kontroversi sewaktu penentuan sepakan penalti pada perlawanan akhir Piala Malaysia tempoh hari adalah mengikut langkah dilakukan oleh Oblak.
Oblak yang juga merupakan penjaga gol antarabangsa Slovenia hanya melepaskan lapan gol setakat ini selepas mengharungi 12 perlawanan La Liga.
Ia seterusnya menjadikan Atletico Madrid sebagai pasukan yang paling sedikit dibolosi setakat ini. Barcelona yang kini menghuni puncak liga pula sudah melepaskan 18 jaringan.
Bekas pemain mahu Oblak kekal
Sehubungan dengan sumbangan yang begitu berkesan dipamerkan Oblak – membuatkan bekas ketua pasukan Atletico Madrid, Gabi menginginkan bekas rakan sepasukannya itu terus kekal bersama pasukan serta menandatangani kontrak baharu.
”(Jan) Oblak merupakan seorang pemain yang penting, sama seperti (Antoine) Griezmann, dia memberikan mata (kekuatan) buat Atletico.”
”Atletico akan berusaha keras untuk membuatkan dia kekal di sini dan dia akan mahu untuk terus kekal, saya pasti dia akan meneruskannya.”
”Keadaannya sukar. Saya yakin dia akan memperbaharui kontraknya. Saya pasti kami akan mencapai kata sepakat tersebut.”
Gabi yang meninggalkan Atletico Madrid pada musim panas yang lalu kini berkelana ke Qatar untuk beraksi bersama Al-Sadd.
Sementara itu, menurut sumber Goal, kontrak Jan Oblak masih berbaki dua tahun dan kontrak tersebut akan berakhir pada 2021.