Kita selalu diberitakan dengan isu permasalahan tunggakan gaji yang sering dihadapi pemain dan jurulatih, tetapi kali ini kisahnya sedikit berbeza.
Bekas petugas Physio Hanelang dan Terengganu City FC dari Indonesia, Fortunella Levyana tampil menuntut pihak yang bertanggungjawab supaya membayar gaji beliau yang tertunggak.
Dari Indonesia ke Terengganu
Fortunella mula berkerja di Malaysia pada musim lalu dengan menyertai Terengganu City FC. Namun beliau cuma bertahan selama satu bulan sebelum menyertai Hanelang FC pada tahun ini dan sebelum kembali semula menyertai Terengganu City FC.
Beliau yang sebelum ini mengambil sikap berdiam diri, akhirnya terpaksa kedepan untuk menyuarakan rasa tidak puas hati dengan situasi yang berlaku.
Sumber dari Fox Sports Asia mendedahkan bahawa Levyana mendakwa kedua-dua kelab dari Terengganu itu sehingga kini masih berdiam diri dan sepertinya mahu melepas tangan dalam isu ini.
“Di Hanelang, saya ada kontrak dari Januari hingga Oktober. Tetapi saya baru terima tiga bulan gaji iaitu untuk Januari, Februari dan Mac.”
“Saya tidak menerima gaji sehingga bulan Mei. Kalau mengikut kontrak, gaji saya sepatutnya sehingga Oktober.”
“Tapi sekarang kontrak itu bagaikan hanya sehelai kertas buat mereka.”
Menurut Levyana lagi, beliau diarahkan berpindah ke Terengganu City FC selepas Hanelang FC telah menarik diri daripada saingan Liga FAM ketika kejohanan berbaki dua perlawanan lagi.
Ibarat pisang berbuah dua kali
Bagaimanapun, beliau kecewa hal yang sama turut berlaku di kelab tersebut yang sebelum ini berjanji untuk membayar gaji beliau yang tertunggak.
“Sementara itu di Terengganu City FC pula saya diarahkan berpindah ke sana kerana Hanelang menarik diri dan mereka berjanji untuk membayar gaji saya.”
“Tetapi malangnya sama juga. Bahkan lebih teruk kerana selaku juara Piala FAM seharusnya mereka tiada masalah untuk membayar gaji.”
Tambah beliau lagi, “Apa yang lebih pelik, Hanelang dan Terengganu City FC tidak memberikan saya salinan kontrak.”
“Ini pertama kali saya berkerja tetapi tidak diberikan salinan kontrak oleh pihak pengurusan.”