Kelompok ahli gabungan FAS yang mengadakan Kongres Luar Biasa (EGM) tanpa perkenan Raja Muda Selangor (RMS) pada malam 8 November 2018 lepas menegaskan mereka bukanlah ‘penderhaka’, sebaliknya adalah ‘penyelamat’ RMS dan FAS.
Bercakap dalam sidang media yang diadakan di Cafe Gu Ambo, Damansara Perdana pada petang tadi, Dato’ Ariffin Abdul Hamid yang mewakili kelompok minoriti ahli gabungan FAS – yang turut dikenali dengan gelaran ‘geng EGM’ – berkata niat mereka mengadakan EGM tersebut adalah untuk menegakkan hak ahli gabungan yang telah dipecat.
“Mereka [yang dipecat] inilah yang membawa masuk RMS ke dalam [FAS]. Saya, Omar Ali dan 2-3 orang EXCO yang lain inilah yang menerangkan kepada ahli gabungan FAS bahawa RMS akan masuk [FAS],” kata Dato’ Ariffin dalam sidang media tersebut.
Dato’ Ariffin Abdul Hamid yang ‘dilantik’ sebagai naib presiden dalam EGM haram tersebut turut menjelaskan beliau pada mulanya menyangkakan hanya RMS seorang yang akan masuk menyertai FAS.
“Walaupun RMS memberitahu baginda akan membawa masuk dua orang baginda [Izhar Moslim dan Dr. Johan Kamal Hamidon], kita masih tiada masalah. Tetapi apabila mereka berdua ini masuk, ‘jerung-jerung’ pun datang. Kami merasakan kumpulan-kumpulan jerung inilah yang tak sepatutnya berada dalam FAS.”
Dato’ Ariffin mengaku kemasukan RMS ke FAS adalah satu perkara yang bagus. Tetapi malangnya, ‘jerung-jerung’ ini telah memberikan nasihat yang tak betul kepada baginda’ menurut beliau. Bekas Penolong Bendahari dan EXCO FAS ini kemudiannya menambah: “Jadi kami sebenarnya bukan penderhaka. Kami adalah penyelamat RMS dan FAS.”