Berapa ramai di kalangan kita yang meletakkan kepercayaan bahawa skuad bolasepak kebangsaan mara ke separuh akhir Piala Suzuki AFF 2014 ?
Saya tidak dapat memberikan peratusannya tetapi sokongan sedikit menyusut selepas melihat anak buah Dollah Salleh tumbang satu demi satu perlawanan pada aksi pemanas badan.
Bayangkan daripada 5 aksi persahabatan antarabangsa Malaysia hanya menang sekali, menewaskan Kemboja. Ia sekaligus memberikan persepsi bahawa Malaysia tidak bersedia hadapi kejohanan dwi tahunan ini.Ramai yang melontarkan kebimbangan malah tidak kurang juga yang menghamburkan kata kata yang kurang enak terhadap bekas penyerang kebangsaan yang turut mencipta kejayaan hebat selaku jurulatih, Dollah Salleh.
Keputusan seri tanpa jaringan menentang Myanmar dalam perlawanan pembukaan kejohanan seakan mengiyakan apa yang dihambur. Lebih parah apabila Gary Steven Robbat mencipta onar menerusi layangan kad merah.
“kalau Myanmar pun kita susah nak menang, inikan pula Thailand”
kata-kata seorang peminat di sebuah warung kopi di sekitar Kg. Baru. Ternyata ramai yang menganggap ini sebagai penamat kepada perjalanan skuad Harimau Malaya.
Malaysia diramal tumbang dengan gol yang banyak, apatah lagi dengan reputasi Thailand yang dibarisi ramai pemain muda. Merekalah yang menjulang kejuaraan di temasya Sukan Sea di Myanmar bahkan muncul pasukan ke 4 terbaik di Sukan Asia.Tidak cukup dengan itu, Thailand menewaskan New Zealand dalam aksi persahabatan sebelum kejohanan Piala Suzuki AFF ini. Apa lagi ? oh ya menewaskan juara bertahan Singapura dalam aksi pertama peringkat kumpulan B.
Bukankah itu statistik yang mampu mencipta gerun ? Tidak…
Pasti ramai yang terkejut dengan perubahan corak permainan skuad negara ketika menentang Thailand. Gandingan Mat Yo dan Safee Sali di depan, kemasukan semula Safiq Rahim dan perubahan kedudukan Amri Yahya serta suntikan S. Kunanlan di bahagian sayap mengubah corak serangan Malaysia.Gol Amri Yahyah dan Safiq Rahim meletakkan Thailand dalam keadaan terkejut apatah lagi melihat betapa mudahnya Safiq meloloskan diri dengan gaya tersendiri menewaskan benteng Thailand.
Tetapi sedikit kealpaan di bahagian benteng menyaksikan impian raih 1 lagi mata berkecai hanya beberapa saat sebelum masa sebenar perlawanan tamat.Dengan hanya 1 mata daripada 2 perlawanan, peluang buat skuad negara dilihat hampir tiada. Apatah lagi terpaksa berdepan tuan rumah SIngapura yang hanya perlukan seri untuk layak.
Provokasi di luar gelanggang sebelum sepak mula sejak 23 November lalu semakin kuat dicanang. Tetapi media Singapura menganggap kejayaan mereka sudah diraih lebih awal apabila berjaya mendapatkan gambar ekslusif sebilangan pemain Malaysia sedang menikmati minuman di sebuah restoran pada waktu malam.Lebih memburukkan keadaan apabila gambar yang tersebar luas, bukan sahaja di republik itu malah di negara ini memaparkan penyerang negara, Safee Sali sedang merokok.Ia pantas menjadi viral dan modal buat media Singapura untuk membuat penilaian kurang tepat buat skuad negara.Lebih menyedihkan ramai juga peminat skuad bolasepak negara yang menjadikan isu ini sebagai alasan – habislah Malaysia!!!
Tiba hari penentuan di stadium Nasional di hub sukan Singapura. Safee Sali yang dicerca, dicemuh dan dianggap petualang negara berada dalam kesebelasan Dollah Salleh.
Apa yang berlaku untuk tempoh 90 + 6 minit seterusnya di atas padang ? anda nilailah sendiri!!! Kalau saya tulis takut panjang lebar, jadi biarlah anda berimaginasi dan mengimbas semula setiap minit apa yang berlaku di atas padang.
Tahniah buat skuad bolasepak negara kerana melangkah ke separuh akhir buat kali ke 8.
Kita bakal membuat perhitungan berdepan juara kumpulan A, Vietnam yang juga juara edisi 2008. Perlu diingat pasukan inilah yang menewaskan Malaysia 3 – 1 dalam aksi terakhir pemanas badan 16 November lalu di Hanoi.Mereka miliki kualiti yang setanding Thailand malah belum tewas setakat ini. Misi pertama bakal berlangsung di Stadium Shah Alam, 7 Disember ini.
Kita tidak perlu lagi melihat sejarah pertemuan lampau sebagai ukuran. Anggaplah Vietnam juga ada kelemahan. Tetapi kita perlu mencari kelemahan itu yang sering disembunyikan Vietnam.
Sebagai penyokong, kita harus berdiri teguh di belakang pemain. Anggaplah kita sebagai pemain ke 12 yang membantu dari sudut psikologi.Ayuh penuhi setiap inci ruang di Shah Alam, gunakan kesempatan ini untuk terlibat secara langsung dengan skuad bolasepak negara. Andalah yang turut sama membina kekuatan pasukan.
Ingat – Biar Putih Tulang, Jangan Putih Mata!!! Malaysia – Tanah Tumpahnya Darahku.
Nukilan,
Akbar Sahari (Astro Arena)
Artikel ini susulan dari tweet @semuanyabola bersama @rabkairahas (Akbar Sahari). Baru saya perasan yang @rabkairahas merupakan ejaan terbalik untuk Akbar Sahari.hehe
Dan ini merupakan email yang kami terima pagi tadi dari Akbar Sahari
Terima kasih diucapkan kepada Akbar Sahari atas nukilan ini.
Anda semua boleh follow beliau di twitter @rabkairahas atau boleh saksikan 2 rancangan ini yang dihoskan oleh beliau.