Delije: Roh Marakana Yang Membantu Red Star Belgrade Tewaskan Liverpool

“Red Star Belgrade shock Liverpool for first Champions League win in 26 years”. Demikianlah tajuk akhbar segmen sukan The Strait Times di Singapura pada hari ini. Apakah perkara di sebalik kemenangan kelab dari Serbia ini ke atas Liverpool di saingan UEFA Champions League pada pagi tadi?

Ketika artikel ini ditulis, kali terakhir Liverpool bergelar juara Liga Inggeris ialah pada 28 tahun, 185 hari yang lalu iaitu pada musim 1989/90. Musim 1990/91, Red Star Belgrade pula mencuri tumpuan apabila muncul juara Piala Eropah namun gagal melepasi saingan peringkat kumpulan pada musim berikutnya.

Itulah adalah sejarah dua kelab bola sepak yang mempunyai budaya berbeza tetapi tampak sinonim dari segi pencapaian.

Red Star Belgrade vs Liverpool F.C

Selepas musim 1992/93, Red Star Belgrade seolah-olah hilang dari radar pertandingan elit eropah itu. Manakala Liverpool berjaya tampil di dalam tiga final eropah sepanjang tempoh 26 tahun yang lalu, dan muncul juara pada edisi 2004/05.

Tatkala Liverpool terus kempunan mendakap kejuaraan liga di England, Red Star pula berbangga dengan sembilan kejuaraan liga domestik milik mereka sepanjang tempoh tersebut. Namun jika kualiti kedua-dua pasukan di atas kertas diambil kira, Liverpool adalah pasukan yang lebih baik.

Kedua-dua kelab mempunyai sejarah mereka tersendiri di dalam bola sepak eropah dan domestik di negara masing-masing. Namun kemenangan 2-0 ke atas Liverpool pada pagi tadi memberi catatan sejarah tersendiri buat Red Star Belgrade. Apa tidaknya, 26 tahun adalah tempoh masa yang amat lama. Tanyakan kepada Liverpool. Mereka amat memahami makna sebuah penantian.

“Saya pernah melalui beberapa perlawanan seperti ini, dan ia amat sukar bila kita hilang ‘mojo’,” ujar Klopp selepas kekalahan pada awal pagi tadi. ‘Mojo’ yang dimaksudkan oleh Klopp ialah sentuhan magis sepertimana yang diperagakan oleh Liverpool dalam beberapa perlawanan terdahulu. Liverpool yang kita kenali pada hari ini amat tajam, dengan corak permainan menarik.

Walaupun menguasai babak kedua perlawanan, Liverpool bergelut mencari sentuhan yang diperlukan untuk menjaringkan gol di Belgrade. Ia adalah senario yang jauh berbeza ketika The Kops membelasah pasukan yang sama dengan jaringan 4-0 di Anfield pada dua minggu lalu. Dan ada yang menggariskan faktor perlawanan yang diadakan di Stadium Rajko Mitic adalah salah satu punca Liverpool dikejutkan oleh barisan anak buah Vladan Milojevic.

Delije: Roh Stadium Rajko Mitic

Aura di Stadium Rajko Mitic sentiasa menjanjikan pengalaman unik kepada setiap penyokong bola sepak yang berkunjung ke Serbia. Pengalaman tersebut bukan kerana kualiti permainan yang ditampilkan di stadium yang pernah diberi nama Marakana, tetapi kerana atmosfera luar biasa yang ditampilkan oleh kumpulan penyokong mereka yang digelar Delije.

Delije: Adalah terma yang pernah membawa kegerunan merentas eropah dan merujuk kepada imej sekumpulan penyokong bola sepak di Serbia. Ia adalah nama kepada kumpulan penyokong ultras Red Star Belgrade. Kumpulan penyokong ini dianggap sebagai salah sebuah kumpulan penyokong paling unik dan fanatik di dalam dunia bola sepak, dan mempunyai sejarah silam yang berkait rapat dengan keganasan.

Kerana itu langkah Liverpool tidak membawa pemain tengah, Xherdan Shaqiri untuk ke perlawanan ini boleh difahami dengan jelas, berikutan kontroversi yang pernah ditampilkan pemain dari suku etnik Albania di Piala Dunia yang lalu. Albania sendiri mempunyai kisah silam konflik geopolitik dengan Serbia ketika perang Balkan pada 1999.

Sejarah keganasan oleh Delije

Pertama kali Red Star Belgrade dikaitkan dengan keganasan bola sepak ialah pada 1970 an, apabila penyokong mereka merentasi stadium untuk bertempur dengan penyokong lawan ketika negara tersebut masih bergelar Yugoslavia.

Pada September 1978, negara tersebut mengalami rusuhan bola sepak besar-besaran apabila penyokong Partizan Belgrade menyerang sebuah keretapi yang membawa sekumpulan penyokong menuju ke perlawanan dihentikan oleh polis untuk pemeriksaan.

Presiden Josep Broz Tito

Apabila pemimpin komunis Yugoslavia, Josip Broz Tito meninggal dunia, penyokong bola sepak di seluruh negara tersebut cuba mengangkat fahaman nationalisme, dan menolak pemerintahan komunis oleh pemerintahan sebelum itu.

Kumpulan ultras Red Star Belgrade yang tidak pernah diiktiraf oleh kelab tersebut adalah mereka yang bertanggungjawab melakukan pemberontakan ke arah nationalisme. Pada May 1990, kumpulan penyokong Red Star yang dilabel hooligan dan diberikan nama Delije bertempur dengan kumpulan penyokong Dynama Zagreb, ‘Bad Blue Boys’ di Croatia dan juga anggota polis. Perlawanan membabitkan Red Star dan Dynamo hanya berlangsung sepuluh minit sebelum kekecohan berlaku.

Slobodan Milosevic a.k.a Alkan

Itu adalah antara keganasan bola sepak yang pernah dicetuskan Dileje. Pengaruh mereka merentasi bola sepak. Dalam satu artikel oleh The Observer, tulisan Dave Fowler, beliau berkata kumpulan pengganas bola sepak Red Star seperti mempunyai gabungan elemen hooliganisme dari Itali dan juga bola sepak Inggeris.

Artikel tersebut turut mengisahkan bagaimana pemimpin Serbia Slobodan Milosevic menyiasat jenayah yang dilakukan oleh individu bernama Zelijko Raznatovic – nama samaran: Arkan – untuk memanfaatkan kuasa Delije di negara berkenaan pada tahun 90-an.

Antara rusuhan penyokong Red Star Belgrade.

Arkan mengetuai pasukan tentera rahsia Serbia yang dipanggil’ Harimau’, dikatakan terlibat dalam semua aspek bola sepak di negara tersebut-dari jualan tiket kepada mengatur perjalanan perlawanan dan ancaman terhadap pegawai pertandingan. Pemain turut diancam jika melakukan tindakan yang membuatkan Dileje tidak senang. Sebagai contoh, kenderaan milik bekas pertahanan tengah Manchester United, Nemanja Vidic pernah dirosakkan hanya kerana pernah bergambar dengan penyokong Partizan.

DNA bola sepak Red Star

Sejarah silam seperti peristiwa politik dan konflik sentiasa menjadi perkara yang membentuk falsafah dan DNA di dalam sesebuah kelab bola sepak. Apa yang kita lihat di Belgrade adalah salah satu contoh. Ia memberi kesan kepada masyarakat setempat untuk berdekad-dekad lamanya. Dan apabila bola sepak adalah sebahagian daripada budaya di dalam sesebuah komuniti itu sendiri, maka tidak hairanlah perkara silam itu tampil sebagai kemenjadian Red Star Belgrade pada hari ini.

Belgrade sendiri masih menyimpan luka lama akibat kejadian pengeboman oleh NATO pada 1999. Kesan runtuhan lama masih boleh dilihat di sekitar bandar. Malah di era Serbia moden pada hari ini, konflik politik masih lagi berlaku, sekaligus turut memberikan kesan kepada keadaan ekonomi negara berkenaan.

Bagi pemain, mereka tidak perlu pergi jauh untuk melihat sendiri perkara itu. Semuanya juga tersimpan di terowong pemain di Stadium Rajko Mitic- arena yang diguna pakai oleh Red Star sejak 1963. Ia adalah lambang kesukaran akibat peperangan dan konflik yang pernah berlaku.

Terowong tersebut sehingga ke hari ini masih memaparkan lukisan-lukisan grafiti di dinding, yang menyimpan kisah konflik silam. Ia boleh menjadi pengalaman yang menakutkan, juga perkara baru buat pemain. Di penghujung terowong, sekumpulan askar turut menunggu untuk sebarang kemungkinan tidak diingini, sekaligus menghidupkan suasana ngeri yang pernah mewarnai Serbia satu ketika dahulu.

Penutup

Pengaruh Delije mungkin sudah tidak seperti dahulu, dan kini hanya terhad ketika memberi sokongan kepada pasukan mereka. Konflik di wilayah berkenaan juga sudah hampir dua dekad berlalu. Tetapi segala kisah kesengsaraan, jenayah dan keganasan yang pernah telah berjaya menanam sifat kemandirian di dalam kelab bola sepak Red Star Belgrade.

Mereka keras. Mereka melawan. Itulah maksud terma Delije di dalam Bahasa Serbia. Cirinya membawa erti mereka juga tidak suka akan kekalahan atau dimalukan di arena mereka sendiri. Pada hari ini, Delije ibarat roh Marakana yang sentiasa berada di belakang Red Star Belgrade.

 

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN