Futsal ialah sukan versi bola sepak yang bermula di jalanan Sao Pulo, Brazil satu ketika dahulu. Sejarah futsal boleh dilihat sejak ia mula dimainkan pada tahun 1930 oleh individu dikenali sebagai Juan Carlos Ceriani sebelum ianya merebak merentasi benua Amerika Selatan.
Di Malaysia, sukan ini semakin pesat berkembang, dan menjadi pilihan utama anak muda, sesuai dengan gaya hidup urban. Ianya adalah alternatif lain kepada sukan bola sepak yang boleh dimainkan di dewan tertutup, tanpa mengira masa kerana kepesatan tumbuhnya pusat futsal di negara ini sejak 10 tahun yang lalu.
Intipati F:30 FAM
Baru-baru ini Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) telah mengetengahkan kepada umum pelan 12 tahun mereka menerusi pelancaran Roadmap F:30. Futsal turut mendapat perhatian apabila FAM bercadang untuk menubuhkan Liga Futsal Pro dan Liga Futsal Negeri yang bakal dilancarkan bermula pada tahun 2019.
Tidaklah terlalu jauh, hanya kurang dua bulan sahaja lagi kita bakal menjengah ke tahun 2019. Dan dengan hanya bermodalkan kejohanan Liga Futsal Kebangsaan (LFK) yang sudah memasuki musim ke-11, adakah FAM mampu menyediakan sekurang-kurangnya draf untuk Liga Futsal Pro dan Liga Futsal Negeri?
Adakah perancangan FAM ini realistik dan mampu digerakkan pada tahun hadapan? Itulah persoalan terbesar yang bermain di minda para pencinta dan pengikut sukan futsal negara. Pelaksanaannya mungkin bakal berdepan liku-liku yang mencabar kerana majoriti kejohanan futsal di Malaysia masih di tahap amatur.
Semuanya BOLA akan mengupas mengenai perancangan ini berdasarkan pandangan beberapa individu yang terlibat secara langsung atau tidak langsung dalam sukan futsal tanah air.
Liga Futsal Kebangsaan (LFK)
Walaupun sudah memasuki edisi ke-11, namun LFK masih tidak mencapai tahap yang diinginkan. Ianya dilihat masih kurang kompetitif dan belum dianggap sebagai liga profesional kerana tidak berlangsung sebagaimana liga pro di negara lain.
Boleh kita katakan kejohanan LFK ini masih berkonsepkan karnival sebagaimana ketika penubuhannya pada 2004 walaupun berlaku penambahbaikkan dalam struktur kejohanan. Dan majoriti pasukan masih berstatus amatur, bukanlah kelab futsal profesional.
Mungkin disebabkan itu, terdapat frasa di dalam Roadmap F:30 yang menyatakan setiap pasukan tertakluk dengan Peraturan Pelesenan Kelab Futsal FAM. Sebagaimana untuk bola sepak, peraturan ini bakal mewajibkan kelab-kelab futsal untuk memenuhi beberapa kriteria sebelum dibenarkan bertanding.
Walaubagaimanapun, masih tiada pengumuman rasmi berhubung peraturan tersebut dan mungkin dalam tahun pertama Liga Futsal Pro nanti, peraturan ini bakal diperkenalkan kepada umum dan setiap kelab serta pasukan yang bertanding akan diberikan ruang masa untuk memohon lesen tersebut daripada FAM.
Liga ‘Haram’ warnai pertandingan futsal di peringkat negeri
Liga ‘haram’ ataupun lebih tepat kita katakan liga amatur di kalangan para pencinta futsal telah lama mewarnai arena futsal di peringkat bawahan tanpa penglibatan pihak berwajib dan dianjurkan oleh individu ataupun sekumpulan peminat.
Selain itu, terdapat juga kejohanan harian ataupun sirkit yang dianjurkan oleh badan-badan swasta umpamanya Milo. Ketika ini jika kita sedia maklum, sedang rancak berlangsung kejohanan Raja Futsal di setiap negeri dan selepas ini di peringkat kebangsaan.
Majoriti kelab yang menyertai kejohanan-kejohanan tersebut bukanlah kelab futsal profesional namun jika kita melihatkan aksi mereka di gelanggang, ada di kalangan mereka seakan-akan sudah setanding dengan pemain kebangsaan kita.
Mohd Hassan Mat Akhir antaranya adalah individu yang bertanggungjawab menganjurkan sebuah liga futsal amatur di Pulau Pinang iaitu Liga Futsal Pulau Pinang (PFL), yang tahun 2018 ini sudah memasuki musim ke-7 penganjurannya.
Minat yang mendalam dalam sukan bola sepak dan juga futsal menyebabkan Hassan telah menggerakkan PFL dan pasti pelbagai onak duri yang telah dilalui olehnya sepanjang menganjurkannya.
“Pengalaman saya selaku penganjur liga amatur ini bermacam-macam. Ada yang baik dan ada juga yang tidak baik. Yang baiknya, liga ini dapat bertahan dari musim pertama hingga sekarang musim ke-7” ujar Hassan kepada Semuanya BOLA.
Liga ini bukan liga rasmi yang dianjurkan ataupun mendapat restu daripada persatuan bola sepak negeri, namun, kemeriahannya sukar ditandingi. Bagi PFL musim ini, sebanyak 32 pasukan bertanding dalam dua liga iaitu Liga Super dan juga Liga Premier.
Jika FAM ingin menganjurkan Liga Futsal Negeri pada 2019, adakah individu sebegini mampu diberikan tugasan untuk menggerakkannya? Ataupun adakah FAM akan menyerahkan sepenuhnya tugasan ini kepada persatuan negeri masing-masing?
Bukan sebarang amatur
Walaupun ia hanyalah liga amatur, sebenarnya ramai bakat-bakat futsal yang beraksi di sana. Ada juga di kalangan pemain-pemain di LFK kini, lahir daripada liga ‘haram’ tersebut.
“Liga sebegini dapat melahirkan pemain-pemain muda yang setara dengan pemain-pemain LFK dan SUKMA, di mana kebanyakan mereka didedahkan dengan latihan intensif yang mantap dari pengurusan kelab,” jelas Hassan mengenai liga ‘haram’.
Menurut Hassan lagi, pelan FAM untuk mewujud dan menjalankan Liga Futsal Pro dan Liga Futsal Negeri adalah suatu langkah yang baik dan sepatutnya telah lama digerakkan. Namun, FAM perlu memikirkan kaedah terbaik untuk merealisasikannya.
“Pihak berwajib perlu mengkaji sedalam-dalamnya mekanisme pelaksanaan dan segala input dan output dari program ini.
“InsyaAllah, sekiranya ia suatu liga yang berbaloi atau dari segi kata lain akan ada keuntungan untuk kedua-dua pihak, penyertaan akan meriah. Cuma dari segi kriteria penyertaan dan kos-kos yang terlibat perlu dikaji sebaik yang mungkin,” tegasnya.
“Mungkin pihak FAM dapat menyediakan geran sebagai bantuan kewangan bagi pasukan-pasukan yang akan bertanding,” tambahnya lagi.
Macam mana nak Pro?
Semuanya BOLA juga bertanyakan mengenai pelan yang terdapat dalam Roadmap F:30 ini kepada salah seorang penggemar dan pengikut liga-liga futsal yang berlangsung di dalam negara, daripada sekecil-kecil liga sehinggalah peringkat LFK.
“Ada pasukan besar, gaji pun tak boleh bayar. Ada juga pasukan yang bayar elaun RM200 sebulan. Macam mana nak bergerak ke profesional dalam masa beberapa bulan ini?
“Liga IPT dah berapa tahun tiada jurulatih peringkat kebangsaan mahupun panel kelab-kelab LFK yang datang untuk memantau bakat-bakat baharu. Tiba-tiba Liga IPT juga termasuk dalam Roadmap,” ujar Mujahid Namrun yang sudah lebih 10 tahun mengikuti perkembangan futsal tempatan.
Persoalan Mujahid itu ada kebenarannya, bagaimana dalam masa beberapa bulan ini FAM akan mampu untuk menggerakkan Liga Futsal Pro dan juga Liga Futsal Negeri tanpa ada sebarang perancangan mendalam berhubung pelaksanaannya?
Selain itu, Mujahid juga mempersoalkan kemampuan FAM untuk menggerakkan liga-liga tersebut yang menurutnya futsal perlu ada badan penganjurnya yang tersendiri dan FAM cukuplah sekadar menjadi pengelola, teknikal serta pasukan kebangsaan.
“Pasukan bola sepak kita pun hanyut (profesional), nak cerita profesional untuk futsal macam mana. FAM perlu tekankan perkara ini terlebih dahulu kepada semua pengurusan negeri,” tegasnya.
Semuanya BOLA juga telah beberapa kali cuba mendapatkan pandangan jurulatih yang terlibat dalam arena futsal berhubung Roadmap untuk futsal ini namun tidak mendapat maklum balas.
Begitupun, pandangan daripada dua individu ini wajar diberikan perhatian khusus sebelum FAM berhajat untuk menjalankan sebuah liga profesional yang seboleh-bolehnya kita tidak mahu hanya sekadar melepaskan batuk di tangga.
Beberapa perkara yang mereka sebutkan seperti mekanisme pelaksanaan, kriteria pasukan, kos-kos yang terlibat, tahap kebersediaan untuk menjadi profesional serta peranan FAM, wajar diperhalusi oleh badan-badan berwajib.
Untuk merealisasikan sebuah liga profesional pada 2019 mungkin ketika ini nampak tidak realistik selepas mempertimbangkan tahap kebersediaan FAM dan juga senario futsal negara. Tetapi, FAM telah meletakkan sasaran untuk menganjurkannya dan pada hemat penulis ia satu matlamat yang baik untuk arena futsal tempatan.